DBKL laksana langkah kekal warisan Sungai Penchala - Utusan Malaysia

DBKL laksana langkah kekal warisan Sungai Penchala

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memulakan kajian bagi mengenal pasti kawasan berpotensi di Sungai Penchala untuk diwartakan sebagai zon kampung tradisi dalam usaha mengekalkan identiti perkampungan Melayu di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keputusan untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai kampung tradisi bagaimanapun bergantung kepada pandangan dan persetujuan pemilik tanah menerusi proses libat urus yang akan dilaksanakan DBKL.

Menurutnya, kajian itu penting bagi memastikan hasrat mengekalkan warisan perkampungan Melayu dapat diseimbangkan dengan hak pemilik tanah serta keperluan pembangunan semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan terletak dalam tangan penduduk. Saya tidak boleh membuat keputusan untuk mereka, tetapi saya sudah memulakan proses untuk meneliti perkara ini seperti yang dijanjikan.

“Keutamaan diberikan kepada pemilik tanah yang mempunyai kuasa menentukan hala tuju pembangunan tanah masing-masing,” katanya pada sidang media pengumuman kajian potensi pengezonan Kampung Sungai Penchala di sini.

Beliau berkata, Sungai Penchala mempunyai nilai sejarah tersendiri dan kawasan perkampungan Melayu seperti itu semakin sukar ditemui di Kuala Lumpur yang pesat membangun.

Katanya, usaha berkenaan turut mengambil kira kewujudan pembangunan bertingkat di kawasan berkenaan yang boleh mengubah identiti asal perkampungan sekiranya tidak dikawal.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kajian Pelan Kawalan Mikro (PKM) akan mengenal pasti lot tanah yang berpotensi untuk dicadangkan sebagai zon kampung tradisi, khususnya di kawasan selatan Sungai Penchala Link.

Menurutnya, DBKL akan mengadakan sesi libat urus dan tinjauan khas bagi mendapatkan pandangan penduduk, termasuk pemilik tanah, sebelum cadangan pengezonan dan parameter pembangunan ditetapkan.

“Semua pendapat penduduk akan diambil kira dan kita tidak mahu hanya sebahagian sahaja mengambil peluang dalam proses ini.

“Kita juga akan mengadakan sesi libat urus di masjid dan dewan serta memastikan penglibatan penduduk secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kawasan berkenaan dicadangkan sebagai zon kampung tradisi, kawalan pembangunan termasuk ketinggian bangunan, kepadatan serta jenis rumah yang dibenarkan akan ditetapkan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Pencahala, Mayudin Amal, 69, berkata, usaha mengekalkan kawasan berkenaan sebagai kampung tradisi wajar disokong bagi memastikan identiti dan kehidupan masyarakat setempat tidak terjejas akibat pembangunan pesat.

“Saya sudah tinggal di sini sejak lahir dan berharap DBKL dapat mengekalkan kampung tradisi ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Pengerusi Persatuan Anak Jati Penchala, Muharani Mat Junus, 58, pula berharap pembangunan yang dibenarkan tidak menjejaskan suasana kampung serta menambah masalah kesesakan yang sudah dihadapi penduduk.

“Kalau dibangunkan lagi, keadaan kampung ini akan menjadi lebih sesak sedangkan masalah kesesakan sudah mula berlaku sekarang,” katanya.

Beliau turut meminta DBKL meneliti isu tempoh pajakan tanah yang semakin hampir tamat serta kemungkinan beban premium yang tinggi sekiranya penduduk mahu mengekalkan tanah masing-masing.

Fadlun berkata, kajian PKM dijangka siap pada Februari depan manakala proses pameran awam bagi cadangan perubahan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) dijangka dilaksanakan pada Mei 2027.

Pewartaan perubahan pelan tempatan itu pula disasarkan pada Februari 2028, tertakluk kepada penyempurnaan proses dan kelulusan berkaitan.

Setakat ini, tiada keputusan muktamad dibuat berhubung perubahan pengezonan kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini