KUALA LUMPUR: Suasana sekitar kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta kembali tenang apabila tiada pergerakan keluar masuk individu termasuk ahli keluarga.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, keadaan kediaman berkenaan agak lengang tanpa kelibat individu yang keluar atau masuk setakat pagi ini sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Malah, tiada kelibat penyokong mahupun rakan-rakan Najib dilihat berada di sekitar kediaman itu.
Pada masa sama, suasana di kawasan perumahan sekitar juga dilihat berjalan seperti biasa apabila jiran-jiran meneruskan aktiviti dan rutin harian masing-masing tanpa sebarang gangguan.
Aktiviti harian penduduk setempat termasuk pergerakan kenderaan di kawasan berkenaan turut berlangsung seperti kebiasaan.
Kehadiran petugas media yang sebelum ini dilihat memenuhi kawasan berkenaan juga tidak ramai apabila hanya kira-kira lima pengamal media berada di lokasi.
Keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini apabila kawasan sekitar kediaman berkenaan menjadi tumpuan pengamal media serta individu yang hadir bagi mengikuti perkembangan situasi semasa. – UTUSAN











