PETALING JAYA: Kerajaan digesa mendedahkan terma sebenar perjanjian kerjasama antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan Jepun bagi menjelaskan sama ada terdapat kekangan perundangan atau implikasi kewangan yang menghalang usaha membawa pulang tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Tennoji, Osaka.
Aktivis Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM), Dr. Siti Rabiah Raws berkata, orang ramai berhak mengetahui syarat perjanjian berkenaan, termasuk pilihan tindakan sekiranya berlaku isu berkaitan kebajikan haiwan sepanjang tempoh penempatan di Jepun.
Menurutnya, ketelusan mengenai perjanjian itu penting bagi memastikan kepentingan kebajikan DAK tidak terjejas, selain membolehkan kerajaan mengenal pasti ruang penyelesaian sekiranya terdapat halangan untuk menamatkan penempatan ketiga-tiga gajah berkenaan lebih awal.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada wujud kekangan perundangan atau implikasi kewangan yang menghalang proses membawa pulang DAK, serta pelan kontingensi sekiranya kebajikan haiwan terabai,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Siti Rabiah berkata, pihaknya mencadangkan beberapa langkah penyelesaian utama yang perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, antaranya menghantar pasukan penilaian veterinar bebas dari Malaysia bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kesihatan fizikal dan mental ketiga-tiga gajah itu sebelum proses membawa pulang mereka dimuktamadkan.
Siti Rabiah Raws berkata, pasukan berkenaan juga perlu memastikan jadual pemakanan dan penjagaan harian DAK di Zoo Tennoji mematuhi piawaian kebajikan haiwan antarabangsa sementara menunggu proses kepulangan mereka.
Katanya, isu berkenaan bukan sekadar soal pemindahan haiwan, sebaliknya melambangkan maruah, integriti tadbir urus dan tanggungjawab negara dalam melindungi khazanah biodiversiti Malaysia.
Tambah beliau, selain itu penempatan semula DAK di pusat pemuliharaan yang mempunyai persekitaran luas dan sesuai dengan sifat semula jadi gajah Asia seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah berbanding kurungan zoo bandar yang terhad.
Siti Rabiah Raws berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas rasmi Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Kelima Belas berhubung isu berkenaan.
“Jawatankuasa tersebut diharap dapat memanggil pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi meneliti bukti, laporan pemantauan semasa serta merangka pelan tindakan konkrit demi menyelamatkan DAK.
“Dalam perkembangan berkaitan, sokongan penuh terhadap persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob ketika perbahasan di Dewan Rakyat semalam berhubung nasib ketiga-tiga gajah itu,” katanya. – UTUSAN











