WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata satu perjanjian dengan Iran boleh dicapai dalam masa beberapa hari dan menyatakan keyakinan bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula serta-merta selepas ia ditandatangani.
Ketika pulang dari perlawanan akhir bola keranjang NBA di New York, Trump berkata, rundingan dengan Teheran masih diteruskan walaupun berlaku peningkatan ketegangan Iran-Israel sejak Ahad sebelum berakhir pada Isnin.
Ketegangan itu berlaku apabila Iran melancarkan hujan peluru berpandu ke arah Israel selepas gencatan senjata antara Teheran dengan Tel Aviv yang rapuh digoncang oleh pertempuran baharu di Lubnan.
TEGANG
Menurut beberapa laporan, peningkatan ketegangan terbaru bermula apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas pinggir selatan Beirut, kawasan yang dikaitkan dengan Hizbollah.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan hujan peluru berpandu ke arah Israel, sekali gus menandakan serangan langsung pertama sejak gencatan senjata dipersetujui pada April.
Beliau mendakwa satu perjanjian untuk menamatkan konflik dengan Iran berkemungkinan dicapai dalam masa dua atau tiga hari.
Trump berkata, perjanjian itu akan menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear dan membolehkan Selat Hormuz dibuka semula serta-merta. Selat itu ditutup apabila AS dan Israel menyerang Teheran sehingga membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari.
Kami berada dalam peringkat akhir untuk satu perjanjian yang sangat, sangat baik,” kata Trump.
“Mereka sebelum ini saling berbalas-balas dan kedua-duanya telah bersetuju melalui saya untuk menghentikannya. Kami berada dalam peringkat akhir untuk satu perjanjian yang sangat, sangat baik yang sama sekali tidak akan membenarkan, dalam apa jua bentuk sekalipun, senjata nuklear dan sebagainya,” tambahnya kepada pemberita sebelum menaiki pesawat rasmi, Air Force One selepas menghadiri perlawanan akhir NBA di Madison Square Garden.
Katanya, perkembangan itu susulan persetujuan Iran dan Israel untuk menghentikan serangan antara satu sama lain selepas ketegangan terburuk antara kedua-dua negara sejak gencatan senjata rapuh berkuat kuasa pada awal April.
HENTI SERANGAN
Trump mengulangi keyakinan penyelesaian diplomatik yang sedang diusahakan mampu meredakan konflik dan mengembalikan kestabilan di rantau Asia Barat.
“Kami kini berada di peringkat akhir untuk memeterai satu perjanjian yang sangat baik, tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear dalam apa juga bentuk.
Beliau turut menyatakan tidak melihat sebarang halangan besar dalam rundingan tersebut dan semua pihak kini ‘sangat hampir’ untuk mencapai persetujuan.
Trump juga pernah menyuarakan keyakinan yang sama dalam rundingan terdahulu kononnya perjanjian hampir dicapai, tetapi konflik kembali memuncak tidak lama kemudian.
Dalam pada itu, Teheran sebelum ini berulang kali menyatakan sebarang perjanjian perlu merangkumi Lubnan.
Menurut Axios, Israel sedang bersiap sedia untuk gelombang besar serangan ke atas Iran sebelum Trump secara peribadi menghubungi Perdana Menteri Israel, Netanyahu dan memintanya berhenti.
MENANG
Pada awal Isnin, Trump memberitahu penyokongnya semasa satu perhimpunan politik untuk Senator Lindsey Graham bahawa AS menjangkakan akan mencapai kemenangan mutlak ke atas Iran dalam tempoh dua minggu.
“Kami adalah pasukan yang sangat kuat dan saya fikir kami sedang memenangi pertempuran ini. Tetapi, anda benar-benar akan menang dalam masa dua minggu akan datang apabila kami mengisytiharkan kemenangan mutlak,” kata Trump.
“Ia akan menjadi kemenangan mutlak. Ia akan berlaku tidak lama lagi, dan harga minyak akan jatuh mendadak,” tambahnya.
KAWALAN KETAT
Namun, Komander Pasukan Quds, Brigedier Jeneral Qa’ani pada Isnin berkata, satu rangkaian keselamatan baharu Barisan Penentangan akan diwujudkan dari Selat Hormuz ke Bab Al-Mandeb dan dari Teluk Parsi ke Laut Merah
“Satu rangkaian keselamatan baharu Barisan Penentangan akan diwujudkan,” katanya sebelum Trump mendedahkan Selat Hormuz akan dibuka serta-merta.
Dalam keadaan aman, satu perlima daripada minyak dunia dahulu melalui laluan sempit tersebut.
Angkatan Tentera Yemen pada Isnin mengisytiharkan larangan penuh terhadap pelayaran kapal-kapal Israel di Laut Merah, dengan menegaskan Sanaa menganggap semua pergerakan musuh sebagai sasaran ketenteraan yang sah.
Sebelum ini, menurut tentera Israel, satu peluru berpandu turut dilancarkan dari Yemen ke arah kawasan tengah wilayah yang diduduki rejim Zionis.
Angkatan Tentera Yemen yang beroperasi di pesisir Bab Al-Mandeb mula melancarkan serangan terhadap kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel di Laut Merah sejak November 2023 sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza yang terus dibedil dan dikepung Israel.
“Perbuatan jahat rejim Zionis dan Amerika di rantau ini akan dibalas dengan tindak balas daripada Barisan Penentangan yang bersatu.
“Pejuang tanpa sempadan sedang mengawasi laluan strategik anda. Jika kamu meneruskan serangan, mereka akan menewaskan kamu,” tambahnya. – AGENSI/AFP










