KYIV: Ukraine pada Jumaat berkata bahawa komander sebuah unit tentera dipecat selepas gambar-gambar muncul menunjukkan askar yang kelaparan di barisan hadapan, tidak mendapat bekalan makanan dan air mencukupi selama beberapa bulan, mencetuskan kemarahan seluruh negara.
Seorang wanita yang dilaporkan sebagai isteri kepada seorang askar dalam unit itu menyiarkan gambar menunjukkan tiga anggota tentera mengalami kehilangan berat badan ketara, dengan tulang rusuk dan tulang selangka jelas kelihatan serta berjanggut panjang tidak bercukur.
Unit tersebut telah berada di kedudukan hadapan di wilayah timur laut Kharkiv sejak 25 Ogos, dengan bekalan tiba jika ada kira-kira setiap 10–15 hari tanpa air atau makanan mencukupi, tulis wanita itu, Anastasia Silchuk di media sosial.
Semasa musim sejuk, askar-askar itu dikatakan mencairkan salji dan meminum air hujan, tambahnya.
Wartawan tentera Ukraine dan tokoh awam memberi reaksi marah terhadap keadaan itu.
“Saya tidak sangka kepimpinan tentera kita akan membawa tentera kita ke tahap memalukan seperti ini. Infantri kita kelihatan seperti mereka yang baru pulang dari tahanan Russia,” tulis wartawan Anna Kaliuzhna di media sosial.
Ketua Staf Tentera Ukraine pada Jumaat berkata, beliau telah memecat komander unit tersebut iaitu ketua Briged Mekanikal ke-14 dengan tuduhan beliau menyembunyikan keadaan sebenar.
“Beberapa kesilapan berlaku berkaitan penyediaan bekalan kepada anggota tentera. Khususnya, masalah bekalan makanan kepada salah satu posisi briged telah dikenal pasti,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Unit itu sedang bertempur di sekitar Sungai Oskil di kawasan Kupiansk, timur laut Ukraine.
Bekalan dihantar kepada tentera di bahagian itu menggunakan dron dan bot untuk merentasi sungai, yang menjadi sasaran tembakan Russia, menurut Ukraine.
Tentera berkata, makanan telah dihantar baru-baru ini kepada unit tersebut. “Sekiranya keadaan mengizinkan, pemindahan segera tentera akan dilakukan,” kata tentera.
Komander baharu briged itu, Taras Maximov, mengadakan panggilan dalam talian dengan askar selepas pelantikannya, berjanji akan cuba menggilirkan mereka keluar secepat mungkin apabila keadaan cuaca mengizinkan. – AFP










