KYIV: Ukraine berjaya melaksanakan pemindahan seorang askar cedera menggunakan dron tanpa pemandu buat julung kalinya dalam sejarah peperangan moden.
Anggota infantri yang menggunakan nama panggilan Kostya itu dilaporkan cedera ketika bertugas sendirian di pos kawalan di barisan hadapan timur Kharkiv, baru-baru ini.
Ketika kejadian, beliau dikepung oleh dron kamikaze Russia dan kawasan sekeliling yang dipenuhi periuk api.
Ini menyebabkan pasukan penyelamat mahupun kenderaan darat tidak dapat dihantar ke lokasi berkenaan.
Sebagai langkah terakhir, pihak komander memutuskan untuk menggunakan aset baharu iaitu sebuah dron pengebom yang telah diubah suai secara besar-besaran.
Dron itu mendarat di sebelah perajurit berkenaan.
Ia diiringi armada dron kamikaze yang lebih kecil dan ‘quadcopter’ yang dilengkapi jaring bagi merangkap pesawat musuh.
‘Quadcopter’ ialah dron yang mempunyai empat kipas di empat penjuru.
Rakaman video yang menakjubkan menunjukkan anggota tentera daripada Briged Serangan Ke-92 itu mengikat dirinya pada bahagian bawah dron model Heavy Shot yang dikendalikan oleh juruterbang bergelar ‘Chornyi’ dari Briged Mekanikal Ke-30.
Sambil bergantung pada tali pinggang keselamatan di bahagian perut dron tersebut, askar seberat 80 kilogram itu diterbangkan ke udara dan dibawa sejauh 18 kilometer dari garis hadapan pertempuran ke kawasan selamat.
Mengulas mengenai ketabahan Kostya, komander dron berkenaan berkata bahawa beliau bertugas seorang diri di pos kawalan pada waktu itu.
“Kami sentiasa berhubung dengannya sambil membekalkan ubat-ubatan dan bekalan makanan. Wira ini bersetuju untuk meneruskan misi tersebut.
“Saya tidak dapat bayangkan perasaan beliau di sana apabila mendengar dan melihat mesin sebesar itu terbang menghampirinya,” katanya.
Armada dron Ukraine yang lain mengiringi pesawat berkenaan dari pelbagai sudut bagi melindunginya daripada sebarang ancaman.
Sebaik sahaja beliau mendarat, komander skuad Unit Sistem Tanpa Pemandu Briged Serangan Berasingan Ke-92 menyapa beliau menerusi radio: “Selamat kembali ke Bumi.”
“Ini adalah satu peristiwa bersejarah, ia menandakan fasa baharu dalam misi pemindahan anggota cedera yang akhirnya akan kita laksanakan secara meluas.
“Kini, kerja-kerja yang serius dan sistematik bermula bagi memastikan misi seumpama ini dapat dijalankan secara berkala,” kata ketua briged berkenaan yang menggunakan nama panggilan ‘Napalm’ selepas operasi tersebut. – AGENSI











