DUBAI: Pengunduran tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari Yemen susulan serangan udara Arab Saudi dilihat dapat meredakan ketegangan antara kedua-dua negara, namun insiden itu turut mendedahkan ketidakpercayaan berterusan antara dua kuasa minyak Teluk yang sekian lama mempunyai perbezaan.
Serangan udara oleh gabungan pimpinan Arab Saudi awal pagi Selasa ke atas pelabuhan Mukalla di selatan Yemen, diikuti gesaan agar semua pasukan UAE meninggalkan Yemen, serta kenyataan Riyadh berhubung keselamatan negaranya dilihat sebagai garisan merah.
UAE berkata, ia terkejut dengan serangan itu, sebelum mengumumkan akan menarik balik baki pasukannya dari Yemen demi keselamatan mereka.
Krisis yang dicetuskan oleh kemaraan mengejut pemisah disokong UAE melalui selatan Yemen pada awal Disember, membawa kepada perpecahan selama bertahun-tahun antara dua negara Teluk dalam segala hal, daripada kuota minyak hingga pengaruh geopolitik.
Sumber Teluk yang biasa dengan pemikiran Arab Saudi memberitahu Reuters, peningkatan ketegangan itu dicetuskan oleh salah faham yang berpunca daripada perbincangan di Washington pada November antara Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai perang di Sudan.
Menurut sumber itu, perbincangan di peringkat tinggi termasuk panggilan telefon antara Arab Saudi dan UAE berlangsung sejak Disember, walaupun ia masih belum menghasilkan keputusan di lapangan.
Sebarang konflik antara Arab Saudi dan UAE bakal memberi kesan negatif kepada Teluk yang berkuasa dari segi kewangan, terkenal sebagai ‘pulau kestabilan’ di tengah Asia Barat yang bergolak.
Perbezaan pandangan antara kedua-dua negara itu berpotensi menghalang persetujuan mengenai keputusan pengeluaran, ketika kedua-dua bersedia untuk pertemuan maya dengan anggota OPEC+ pada Ahad.
KEMARAAN MENGEJUT
Susulan kemaraan mengejut mereka pada awal Disember, pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE kini menguasai kawasan luas di Yemen, termasuk wilayah strategik Hadramount.
STC sebelum ini merupakan komponen penting dalam gabungan yang berjuang bersama kerajaan diiktiraf antarabangsa dan disokong Arab Saudi menentang gerakan Houthi yang berpihak kepada Iran, menguasai ibu negara Sanaa, serta kawasan barat berpenduduk padat.
Kemaraan mereka melalui selatan membawa STC hampir ke sempadan Yemen dengan Arab Saudi, di kawasan yang menjadi asal-usul ramai rakyat Arab Saudi ternama, menjadikannya penting dari segi budaya dan sejarah.
Perkembangan itu juga meletakkan Arab Saudi dan UAE di pihak bertentangan dalam perang saudara yang berlarutan di Yemen sejak 2014.
Arab Saudi dan UAE secara terbuka menyatakan mereka sedang mengadakan rundingan dengan kumpulan Yemen bagi mengawal keadaan, namun gabungan itu melancarkan serangan udara di wilayah tersebut dua kali dalam beberapa hari kebelakangan ini.
STC menolak seruan gabungan Saudi supaya pasukannya berundur dari kawasan yang mereka kuasai, dengan menyatakan ia akan terus mengawal wilayah Hadramount dan Mahra di timur.
Dalam satu kenyataan mengenai serangan di Mukalla, UAE berkata, ia berusaha meredakan ketegangan sejak kemaraan STC dan menafikan terlibat dalam sebarang operasi yang boleh menjejaskan keselamatan Saudi atau menyasarkan sempadannya.
PERBEZAAN PENDAPAT MENGENAI SUDAN
Jurucakap badan pemikir Chatham House, Neil Quilliam berkata, kedua-dua negara cenderung memperkecilkan pergeseran dalam hubungan mereka dan mendakwa persaingan antara negara sebagai perkara biasa.
“Namun, tahap persaingan itu jelas meningkat dalam setahun kebelakangan ini dan berlaku di pelbagai medan,” katanya.
Satu daripadanya merupakan Sudan, negara yang dilanda perang saudara dan mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia sejak April 2023.
Quad, yang terdiri daripada Arab Saudi, Mesir, AS dan UAE, memimpin usaha diplomasi mengenai konflik itu, namun perang tetap berlarutan.
Sudan merupakan isu sensitif bagi UAE. Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kongres AS mendakwa UAE menyokong kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang berperang menentang tentera Sudan.
UAE bagaimanapun menafikan menyokong mana-mana pihak. Trump dan Putera Mahkota Arab Saudi membincangkan isu Sudan dalam pertemuan mereka di Washington November lalu.
Sumber Teluk itu berkata, pimpinan UAE marah kerana mereka ‘diberi maklumat yang salah’ berhubung Putera Mahkota Arab Saudi bukan sahaja meminta sekatan terhadap RSF, bahkan juga kepada UAE atas dakwaan sokongannya kepada kumpulan tersebut.
Menurut sumber itu, salah faham tersebut mencetuskan peningkatan ketegangan di Yemen.
Kementerian luar UAE tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan itu dan merujuk Reuters kepada kenyataan terdahulu yang dikeluarkan pada hari Jumaat, di mana UAE memuji usaha Arab Saudi untuk menyokong keselamatan dan kestabilan di Yemen serta menegaskan komitmennya untuk terus menyokong kestabilan negara itu.
Teluk Arab pernah menyaksikan ketidakstabilan sebelum ini.
Pada 2017, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Oman dan Mesir menyekat ekonomi Qatar melalui boikot, menuduh negara itu menyokong pengganas, meskipun ia dinafikan Doha.
Bagaimanapun, ketegangan terbaharu dilihat tidak mungkin mencetuskan krisis seperti boikot Qatar.










