PHNOM PENH: Thailand pada Rabu membebaskan 18 tentera Kemboja yang ditangkap pada Julai, menurut kenyataan kedua-dua kerajaan, selepas gencatan senjata baharu antara jiran serantau itu bertahan lebih tiga hari.
“Saya boleh mengesahkan 18 tentera wira kami selamat tiba di tanah Kemboja sekitar pukul 10:00 pagi (waktu tempatan),” kata Menteri Maklumat Kemboja, Neth Pheaktra, kepada AFP.
Kementerian Luar Thailand turut mengesahkan penghantaran pulang 18 tentera itu ke Kemboja, menyatakan ia dilakukan sebagai tanda niat baik dan usaha membina keyakinan, menurut kenyataan rasmi.
“Saya sangat gembira. Saya tidak sabar untuk bertemu dengannya. Saya sangat merinduinya,” kata Voeung Vy, bapa salah seorang tentera yang dibebaskan, Voeung Vy sambil menambah dia akan menyambut kepulangan anaknya di Phnom Penh.
Negara jiran Asia Tenggara itu bersetuju mengadakan gencatan senjata pada Sabtu lalu, menamatkan semula pertempuran di sempadan yang meragut puluhan nyawa dan memindahkan lebih satu juta penduduk bulan ini.
Di bawah gencatan senjata itu, Kemboja dan Thailand berikrar untuk menghentikan tembakan, membekukan pergerakan tentera dan bekerjasama dalam usaha penghapusan ranjau di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
Mereka juga bersetuju membenarkan orang awam yang tinggal di kawasan sempadan pulang ke rumah secepat mungkin, sementara Thailand dijadual memulangkan 18 tentera Kemboja yang ditahan pada Julai dalam tempoh 72 jam, sekiranya gencatan senjata dipatuhi.
Kemboja menyatakan tentera mereka ditahan oleh pasukan Thailand pada 29 Julai hampir lapan jam selepas gencatan senjata yang menghentikan lima hari pertempuran maut berkuat kuasa.
Amerika Syarikat (AS), China dan Malaysia menjadi orang tengah untuk memeterai gencatan senjata bagi menamatkan pusingan pertempuran itu, namun gencatan senjata tersebut hanya bertahan seketika.
Presiden AS, Donald Trump, hadir ke Malaysia pada Oktober untuk menyaksikan penandatanganan deklarasi lanjutan antara Thailand dan Kemboja, sambil mempromosikan perjanjian perdagangan baharu selepas kedua-dua negara bersetuju melanjutkan gencatan senjata.
Deklarasi itu menyatakan Thailand akan segera membebaskan tentera Kemboja yang ditahan, yang digelar ‘tahanan perang’.
Namun, Bangkok menggantung perjanjian itu bulan berikutnya selepas tentera Thailand cedera semasa meninjau sempadan.
Pertempuran yang kembali berlaku bulan ini menggunakan artileri, kereta kebal, dron dan pesawat hampir ke setiap wilayah sempadan di kedua-dua belah pihak.
Konflik ini berpunca daripada pertikaian wilayah berkaitan sempadan Thailand-Kemboja sepanjang 800 kilometer dari era kolonial, di mana kedua-dua negara menuntut runtuhan kuil bersejarah berusia berabad-abad.
Walaupun kedua-dua negara bersetuju menghentikan pertempuran pada Sabtu, isu penentuan sempadan yang dipertikaikan masih belum diselesaikan.-AFP










