MOGADISHU: Ribuan rakyat Somalia mengadakan protes besar-besaran di beberapa bandar dan pekan di seluruh negara itu bagi membantah pengiktirafan Israel terhadap wilayah Somaliland.
Israel pada Jumaat lalu mengumumkan ia menganggap Somaliland yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 1991 namun tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana negara lain sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud mengecam langkah itu sebagai ancaman terhadap kestabilan di Tanduk Afrika.
Beliau pada Selasa berlepas ke Turkiye, sekutu rapat Somalia, untuk membincangkan situasi berkenaan.
Di ibu negara Mogadishu, ribuan penunjuk perasaan berarak di jalan-jalan utama sebelum berhimpun di sebuah stadium, sambil mengibarkan sepanduk berunsur anti-Israel serta bendera Somalia dan Palestin.
“Kami tidak akan sesekali membenarkan sesiapa pun mencabuli kedaulatan kami,” kata seorang peserta protes, Adan Muhidin kepada AFP, sambil menambah tindakan Israel itu merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Demonstrasi turut diadakan di Lascanod di timur laut negara itu, Guriceel di tengah Somalia, serta Baidoa di bahagian barat daya.
“Kami tidak mempunyai sebarang persamaan dengan Israel. Kami menyeru rakyat Somaliland supaya tidak mendekatkan diri dengan mereka,” kata pemimpin agama tempatan, Sheikh Ahmed Moalim di Guriceel.
Somaliland sejak sekian lama dianggap sebagai kawasan yang stabil dan demokratik dalam negara yang dilanda konflik, dengan mata wang, pasport dan angkatan tenteranya sendiri.
Wilayah itu juga memiliki kedudukan strategik di Teluk Aden, menjadikannya rakan perdagangan dan ketenteraan yang menarik bagi sekutu serantau dan antarabangsa.
Namun, keputusan Israel untuk mengiktiraf kenegaraan Somaliland menerima kecaman meluas dari dunia Islam dan Afrika, dengan kebimbangan bahawa langkah itu akan menyemarakkan konflik dan perpecahan di rantau berkenaan. -AFP










