BEIJING: China melepaskan roket ke perairan berhampiran Taiwan sambil mempamerkan aset ketenteraan baharu dalam latihan perang terbesar setakat ini, sekali gus menegaskan penolakannya terhadap sebarang campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dalam isu Taiwan.
Sebagai sebahagian daripada latihan yang mensimulasikan sekatan, Pemerintahan Teater Timur Tentera China menjalankan latihan tembakan langsung selama 10 jam, melancarkan roket ke perairan di utara dan selatan pulau yang ditadbir secara demokratik itu.
Menurut Reuters, unit tentera laut dan udara China turut mensimulasikan serangan ke atas sasaran maritim dan udara serta menjalankan latihan anti-kapal selam di sekitar pulau berkenaan.
Media kerajaan turut menyiarkan imej yang mempromosikan keunggulan teknologi dan ketenteraan Beijing serta keupayaannya menawan Taiwan dengan kekerasan jika perlu.
Dinamakan ‘Justice Mission 2025’, latihan itu bermula 11 hari selepas AS mengumumkan pakej senjata bernilai AS$11.1 bilion (RM45 bilion) kepada Taiwan, yang mencetuskan kemarahan Kementerian Pertahanan China dan amaran bahawa tentera akan mengambil langkah tegas sebagai tindak balas.
Buat pertama kali, tentera China menyatakan latihan tersebut bertujuan menghalang campur tangan pihak luar.
“Sebarang kuasa luar yang cuba campur tangan dalam isu Taiwan atau mencampuri urusan dalaman China akan berdepan tindakan tegas daripada Tentera Pembebasan Rakyat China,” kata Pejabat Hal Ehwal Taiwan China dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beijing juga memperhebatkan retorik terhadap Taiwan dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mencadangkan secara hipotesis bahawa serangan ke atas pulau itu boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan dari Tokyo.
Pemimpin China, Xi Jinping, minggu lalu menaikkan pangkat komander Pemerintahan Teater Timur yang menyelia operasi berkaitan Taiwan ke jawatan jeneral penuh, satu langkah yang menurut penganalisis bertujuan mengukuhkan kesiapsiagaan tempur tentera susulan pembersihan kepimpinan.
“China bukan sahaja mempunyai kelebihan angka yang besar, malah kini memiliki kelebihan kualitatif secara menyeluruh dari segi persenjataan dan berkemungkinan juga latihan,” kata Pengarah Program Asia Badan Pemikir Defense Priorities berpangkalan di AS, Lyle Goldstein.










