WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan kesediaannya mengekalkan perjanjian senjata nuklear antara Washington dan Moscow, selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, mencadangkan lanjutan selama setahun bagi perjanjian tersebut.
“Kedengaran seperti idea yang baik bagi saya,” kata Trump.
Perjanjian berkenaan dijadual tamat pada 5 Februari 2026, kurang empat bulan dari sekarang.
Perjanjian yang dikenali sebagai New START (Strategic Arms Reduction Treaty) itu bertujuan mengehadkan bilangan senjata nuklear ofensif yang dikerahkan oleh kedua-dua negara kuasa besar.
Ia meliputi peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam (SLBM) serta hulu ledak nuklear.
Ditandatangani pada tahun 2010, perjanjian ini menghadkan setiap negara kepada maksimum 1,550 hulu ledak nuklear, dan 800 pelancar peluru berpandu serta pengebom berat, sama ada yang dikerahkan atau tidak.
Perjanjian ini turut menyediakan sistem pengesahan bersama, yang membolehkan setiap negara memantau pematuhan pihak satu lagi.
Namun, pelaksanaan pemeriksaan ini terhenti dua tahun lalu, apabila Moscow menggantung penyertaannya di tengah konflik Ukraine dan ketegangan yang semakin memuncak dengan Barat.
Trump sebelum ini, pada Januari lalu, menyatakan hasrat untuk merundingkan pelucutan senjata nuklear secara menyeluruh dengan Russia dan China.
Dalam masa sama, beliau mengarahkan Pentagon supaya membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu berskala besar yang dinamakan Golden Dome satu projek besar yang disifatkan sebagai perisai pelindung terhadap ancaman strategik.
Sokongan Trump terhadap lanjutan New START dsebagai isyarat positif ke arah kestabilan strategik antara dua negara berkekuatan nuklear terbesar di dunia, meskipun ketegangan geopolitik masih membara di pentas antarabangsa.










