BARCELONA: Sebuah flotila yang membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis, termasuk aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg dijadualkan berlepas dari Barcelona sebagai usaha terbaharu memecahkan kepungan haram ke atas Gaza.
Menurut penganjur, Global Sumud Flotilla, kapal-kapal tersebut akan bertolak dari pelabuhan utama Sepanyol dengan tujuan untuk membuka koridor kemanusiaan dan menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Flotila itu dijangka tiba di wilayah pesisir yang musnah akibat peperangan itu pada pertengahan September.
“Ini akan menjadi misi solidariti terbesar dalam sejarah, dengan penyertaan lebih ramai orang dan lebih banyak kapal berbanding semua percubaan terdahulu jika digabungkan,” kata aktivis Brazil, Thiago Avila, kepada wartawan di Barcelona minggu lalu.
Penganjur memaklumkan, puluhan lagi kapal dijangka berlepas dari pelabuhan di Tunisia dan beberapa pelabuhan Mediterranean lain pada 4 September.
“Aktivis turut merancang untuk mengadakan demonstrasi serentak dan pelbagai bentuk protes di 44 negara sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin”, kata Thunberg yang juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu flotila itu dalam catatan di Instagram.
Selain Thunberg, flotila itu turut disertai aktivis dari beberapa negara, ahli Parlimen Eropah serta tokoh awam seperti bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau.
“Kami memahami misi ini sah di sisi undang-undang antarabangsa,” kata ahli Parlimen sayap kiri dari Portugal, Mariana Mortagua, yang akan menyertai misi tersebut, kepada wartawan di Lisbon minggu lalu.
Israel sebelum ini menghalang dua percubaan untuk menghantar bantuan ke Gaza melalui laut, masing-masing pada bulan Jun dan Julai.
Pada bulan Jun, 12 aktivis dari Perancis, Jerman, Brazil, Turkiye, Sweden, Sepanyol dan Belanda yang berada di atas kapal layar Madleen dipintas oleh tentera Israel sejauh 185 kilometer di barat Gaza.
Penumpang kapal tersebut, termasuk Thunberg ditahan dan kemudiannya diusir.
Pada Julai pula, 21 aktivis dari 10 negara juga dipintas ketika cuba mendekati Gaza dengan sebuah lagi kapal, Handala.
Situasi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan keadaan kebuluran di wilayah itu bulan ini dan memberi amaran 500,000 orang menghadapi keadaan kemanusiaan yang amat dahsyat.-AFP










