KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan keamanan berkekalan tidak boleh dicapai tanpa penyertaan Ukraine di meja rundingan selepas beliau dipinggirkan daripada sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin di Alaska Jumaat ini.
Tegasnya, sebarang perjanjian mesti mematuhi undang-undang antarabangsa, kedaulatan serta keutuhan wilayah negara itu.
Menjelang sidang kemuncak tersebut, Zelensky serta pemimpin Eropah lain mengadakan mesyuarat dalam talian dengan Trump semalam untuk menegaskan pendirian mereka.
Zelensky menegaskan, perbincangan berkaitan Ukraine tanpa penglibatan negara itu ‘tidak akan berhasil’, selain menolak sebarang cadangan Russia yang memaksa Kyiv menarik tenteranya.
“Perbincangan yang bermakna dan produktif tentang Ukraine tanpa kami tidak akan berhasil.
“Sama seperti saya tidak boleh berkata apa-apa tentang negara lain atau membuat keputusan bagi pihaknya,” kata Zelenskiy dalam temubual bersama NewsNation, kelmarin.
Beliau turut menegaskan, Russia mesti bersetuju dengan gencatan senjata sebelum isu wilayah dibincangkan.
Bahkan, Zelensky juga menolak sebarang cadangan Moscow yang meminta Kyiv menarik balik tenteranya dari wilayah Donbas timur dan menyerahkan barisan pertahanan.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt menjelaskan, Zelenskyy tidak dijemput kerana mesyuarat itu dicadangkan oleh Putin dan diterima Trump untuk mendapatkan pemahaman lebih baik bagi menamatkan perang.
Bagaimanapun, Trump bersedia untuk mengadakan mesyuarat tiga pihak bersama Putin dan Zelensky pada masa akan datang, kata Leavitt.
Dalam sidang kemuncak pertama AS-Russia sejak 2021, Putin dan Trump akan bertemu di Pangkalan Tentera Udara Elmendorf di Anchorage, Alaska, menurut dua pegawai Rumah Putih.
SOKONGAN PEMIMPIN EROPAH
Bekas penasihat Kremlin, Sergei Markov berkata, kemaraan Russia boleh meningkatkan tekanan ke atas Ukraine untuk menyerahkan wilayah dalam sebarang perjanjian.
“Pencapaian ini ibarat hadiah untuk Putin dan Trump semasa rundingan,” katanya.
Walaupun berdepan kekurangan anggota, tentera Ukraine pada Isnin berjaya menawan semua dua kampung di wilayah timur Sumy.
Russia, yang melancarkan pencerobohan berskala penuh pada Februari 2022, memulakan serangan baharu tahun ini di Sumy selepas Putin menuntut ‘zon penampan’ di kawasan tersebut.
Ukraine dan sekutu Eropah bimbang Trump, yang mahu mendapat ‘kredit’ sebagai pendamai serta memeterai perjanjian perniagaan baharu dengan Russia, akan memberi ganjaran kepada Putin atas usaha 11 tahun merampas wilayah Ukraine, termasuk melalui perang terbuka sejak tiga tahun lalu.
Pemimpin Eropah menegaskan Ukraine mesti berupaya mempertahankan diri bagi menjamin keamanan dan keselamatan benua itu, selain mereka bersedia memberi sokongan tambahan.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk menegaskan, Ukraine tidak boleh kalah dalam perang dan tiada pihak berhak menekan negara itu untuk membuat konsesi wilayah atau lain-lain keputusan yang bersifat menyerah.
“Saya harap kita dapat meyakinkan Presiden Trump tentang pendirian Eropah,” katanya pada mesyuarat kerajaan menjelang perbincangan dalam talian pada Rabu.
Perbincangan tersebut melibatkan pemimpin dari Finland, Perancis, United Kingdom (UK), Itali, Poland, Ukraine, Ketua Suruhanjaya dan Majlis Eropah serta Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, sekutu utama Putin di Eropah, menjadi satu-satunya pemimpin yang tidak menyertai kesepakatan Kesatuan Eropah (EU).
PERBINCANGAN MEMBINA
Kelmarin, Trump merendahkan jangkaan untuk sebarang kejayaan besar di sidang kemuncak Alaska, tetapi menjangkakan ‘perbincangan membina’ dengan Putin.
“Ini sebenarnya mesyuarat untuk saling menilai,” kata Trump di Rumah Putin, sambil mendakwa akan ada pertukaran dan perubahan wilayah.
Sebagai syarat awal penyelesaian damai, Russia menuntut Kyiv menarik tenteranya dari beberapa wilayah yang dituntut Moscow, bersetuju menjadi negara berkecuali, menolak sokongan ketenteraan AS dan EU serta dikecualikan daripada menyertai NATO.
Bagaimanapun, Ukraine menegaskan tidak akan sesekali mengiktiraf kawalan Russia ke atas wilayah berdaulatnya, namun mengakui usaha mendapatkan semula tanah yang ditawan Moscow perlu dilakukan melalui usaha diplomatik berbanding pertempuran.
Ukraine pada Selasa mengakui tenteranya sedang berdepan pertempuran sukar dengan pasukan Russia selepas Moscow membuat kemaraan di kawasan sempit, tetapi penting di barisan hadapan timur negara itu.
“Kami melihat tentera Russia tidak bersedia untuk menamatkan perang, sebaliknya mereka membuat pergerakan yang menunjukkan persiapan untuk operasi serangan baharu,” kata Zelensky di media sosial.










