YANGON: Pasukan Tentera Arakan (AA), antara kumpulan etnik paling berpengaruh di Myanmar pada Isnin berikrar akan menghalang pilihan raya di kawasan yang dikuasai mereka, menolak proses pengundian yang digembar-gemburkan junta tentera sebagai jalan untuk menamatkan perang saudara di negara itu.
Kumpulan itu muncul sebagai pencabar utama kepada pemerintah tentera Myanmar sejak rampasan kuasa pada 2021 yang mencetuskan peperangan dan kini menguasai hampir seluruh wilayah barat negeri Rakhine.
Selain AA, tentera junta turut berperang dengan pelbagai kumpulan bersenjata etnik lain yang telah lama menentang pemerintahan pusat dan kini mendapat sokongan daripada unit-unit gerila pro-demokrasi di barisan hadapan.
Akhir bulan lalu, junta menamatkan perintah darurat seluruh negara yang diisytiharkan ketika rampasan kuasa dan mengumumkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember ini.
Kumpulan pembangkang termasuk ahli Parlimen pro-demokrasi yang digulingkan dalam kudeta memboikot pilihan raya tersebut, manakala seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai ‘penipuan yang bertujuan menghalalkan pemerintahan berterusan junta’.
Jurucakap AA, Khaing Thu Kha berkata, pilihan raya akan dihalang di kawasan Rakhine yang dikawal kumpulan itu, meliputi 14 daripada 17 daerah di negeri berkenaan.
“Pilihan raya tanpa sokongan rakyat tidak akan memberi manfaat kepada mereka, malah hanya akan menambah kekeliruan.
“Pilihan raya mungkin boleh diadakan di kawasan yang dikawal majlis tentera, tetapi ia tidak akan dibenarkan di kawasan yang kami kuasai.
“Sudah pasti rakyat Rakhine tidak berminat dengan pilihan raya,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung.
Junta menganggarkan negeri Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh mempunyai sekitar 2.5 juta penduduk daripada jumlah keseluruhan 51 juta rakyat Myanmar.
AA pada awalnya mencapai gencatan senjata dengan junta, namun ia berakhir pada akhir 2023 apabila kumpulan itu bergabung dengan tentera etnik lain dalam satu serangan bersama yang menyebabkan kerugian besar wilayah kepada pihak tentera di seluruh negara.
Sebagai tindak balas, tentera melancarkan kempen serangan udara besar-besaran serta sekatan tidak rasmi yang memutuskan hubungan antara negeri pantai itu dengan wilayah lain di Myanmar.
Menurut angka PBB, sekitar 560,000 orang kini hidup dalam keadaan terlantar di Rakhine.
Junta berkata, ia mengekalkan perintah darurat di 14 daerah negeri itu bagi memastikan kestabilan, keamanan, dan kedaulatan undang-undang.-AFP









