Rumah Menteri Kewangan Indonesia dirompak ketika protes memuncak

Rumah Menteri Kewangan Indonesia dirompak ketika protes memuncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Rumah Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dirompak pada malam Sabtu, menurut anggota tentera yang mengawal kediamannya ketika gelombang protes terhadap polis mula merebak kepada para penggubal undang-undang.

Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu digegarkan oleh siri protes di bandar-bandar utama sejak kematian penghantar makanan, Affan Kurniawan yang dilanggar polis ketika menyuraikan demonstrasi membantah elaun kewangan untuk ahli Parlimen.

Protes tersebut kini menyasarkan sebahagian anggota Parlimen apabila kediaman, Sri Mulyani di Tangerang Selatan dipecah masuk pada awal pagi Ahad dalam dua siri pencerobohan.

“Dalam kumpulan pertama perompak, terdapat berpuluh-puluh motosikal membawa dua hingga tiga orang setiap satu. Dalam kumpulan kedua, terdapat sekitar 150 orang.

“Mereka merompak televisyen, sistem bunyi, hiasan ruang tamu, pakaian, pinggan dan mangkuk,” kata jiran beliau, Damianus Rudolf kepada AFP.

Sri Mulyani tidak berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku, lapor agensi berita negara Antara yang memetik dua saksi.

Beliau merupakan tokoh berpengaruh yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Bank Dunia dan memegang jawatan menteri kewangan di bawah tiga presiden berbeza.

Tentera mengawal kediamannya pada petang Ahad, ketika seorang wartawan AFP melihat trak mengangkut beberapa objek keluar dari rumah tersebut.

Beberapa rumah ahli Parlimen lain juga dirompak sejak beberapa hari lalu, termasuk rumah Ahmad Sahroni daripada parti NasDem yang menjadi sebahagian daripada gabungan pemerintah Prabowo.

Rumah seorang lagi ahli politik NasDem, Nafa Urbach turut dirompak awal Ahad, lapor media tempatan yang memetik seorang saksi.

Sebuah kumpulan penyerang juga menyerbu rumah ahli Parlimen, Eko Hendro Purnomo pada malam Sabtu, menurut Antara.

Protes kini merebak ke bandar-bandar utama lain termasuk Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Pulau Jawa, serta Medan di wilayah Sumatera Utara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN