Nasdem gantung tugas dua ahli Parlimen buat kenyataan kontroversi guris hati rakyat

Nasdem gantung tugas dua ahli Parlimen buat kenyataan kontroversi guris hati rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pimpinan Pusat Nasdem mengumumkan penggantungan tugas dua wakil rakyat mereka yang juga Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Ahmad Sahroni dan Nafa Urbach ekoran kenyataan kedua-duanya baru-baru ini yang dianggap menyinggung perasaan rakyat dan memburukkan lagi gelombang protes di negara itu.

Beliau menjelaskan, ucapan Ahmad dan Nafa juga dilihat bercanggah dengan perjuangan asas parti tersebut.

“Dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat, terdapat kenyataan daripada anggota DPR Nasdem yang menyinggung dan melukakan perasaan rakyat.

“Berdasarkan pertimbangan itu, dengan ini kami mengumumkan bahawa bermula Isnin, 1 September 2025, Ahmad Sahroni dan Nafa Urbach digantung tugas sebagai Ahli DPR daripada wakil Nasdem,” kata Setiausaha Agung Nasdem, Hermawi Taslim, dalam kenyataan rasmi.

Ahmad sebelum ini dikecam hebat selepas mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina rakyat ketika mengulas desakan supaya DPR dibubarkan.

“Desakan untuk membubarkan DPR itu satu sikap yang salah. Mental manusia seperti itu adalah mental orang tertolol di dunia. Catat ini, orang yang hanya pandai bercakap minta bubarkan DPR itu orang paling tolol di dunia. Kenapa? Adakah semua kita ini pandai? Tidak, ramai yang bodoh,” katanya dalam satu lawatan kerja di Polda Sumatera Utara pada 22 Ogos lalu.

Kenyataan itu tular dan mencetuskan kemarahan masyarakat yang menganggap beliau angkuh serta tidak menghormati hak rakyat untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap institusi Parlimen.

Susulan kontroversi itu, Ahmad dipindahkan daripada jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa III DPR kepada anggota Jawatankuasa I DPR.

Semalam, rumahnya dilaporkan turut dipecah masuk sekumpulan perusuh dengan pelbagai barangan berharga miliknya dicuri.

Ahmad didakwa melarikan diri ke Singapura bagi mengelak kekecohan yang semakin memuncak.

Nafa pula menerima kritikan kerana mempertahankan elaun perumahan wakil rakyat sebanyak Rp 50 juta rupiah (RM12,839) sebulan yang diumumkan minggu lalu.

Dalam satu siaran langsung di TikTok, beliau mendakwa jumlah tersebut bukanlah kenaikan kemudahan baharu, sebaliknya pampasan selepas rumah kerajaan yang sebelum ini disediakan sudah ditarik balik dan mereka kini harus menyewa kediaman.

“Itu bukan kenaikan, itu pampasan untuk rumah jabatan. Rumah jabatan sekarang sudah tiada, jadi ia telah dikembalikan kepada kerajaan,” kata Nafa.

Namun, kenyataan itu segera mencetuskan reaksi negatif warganet yang menganggap pendiriannya tidak sensitif terhadap keadaan ekonomi rakyat ketika ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN