ASHKELON: Ahli keluarga tebusan Israel yang ditahan di Gaza belayar pada Khamis dalam satu flotila menuju ke arah wilayah terkepung itu.
Menurut seorang wartawan AFP yang turut berada di atas sebuah bot, penganjur menyatakan mereka berharap untuk berada lebih dekad dengan orang tersayang mereka.
Lebih 20 orang menaiki beberapa buah bot yang berlepas dari bandar pantai Ashkelon sambil membawa bendera kuning dan poster yang memaparkan gambar-gambar tebusan, sambil melaungkan nama-nama mereka.
Bercakap dalam bahasa Inggeris menggunakan pembesar suara, kedengaran Yehuda Cohen, bapa kepada Nimrod yang kini ditawan di Gaza melaungkan slogan meminta bantuan antarabangsa.
“Mayday, mayday, mayday. Kami perlukan bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan 50 orang tebusan yang sudah hampir dua tahun ditawan oleh Hamas.
“Pentadbiran Netanyahu sedang bertindak untuk membunuh mereka, mahu melancarkan perang ke seluruh wilayah Gaza, membunuh dan membahayakan para tebusan.
“Kami benar-benar perlukan bantuan antarabangsa,” tambah Cohen lagi.
Daripada 251 orang yang diculik pada 7 Oktober 2023 oleh Hamas dan sekutunya, seramai 49 masih ditahan di Gaza, di mana 27 daripada mereka diisytiharkan sudah meninggal dunia oleh tentera.— AFP









