TEL AVIV: Israel dilaporkan sedang mengadakan perbincangan dengan Sudan Selatan berhubung rancangannya memindahkan rakyat Palestin dari Gaza ke negara Afrika Timur yang dilanda konflik itu.
Enam individu yang mengetahui perkara tersebut mengesahkan kepada agensi berita AP rundingan sudah berlangsung namun tahap kemajuannya masih tidak dapat dipastikan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau mahu merealisasikan visi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan sebahagian besar penduduk Gaza melalui apa yang disebutnya sebagai ‘migrasi sukarela’.
“Saya fikir ini tindakan yang betul, malah menurut undang-undang peperangan seperti yang saya fahami ialah membenarkan penduduk meninggalkan kawasan itu.
“Kemudian kami boleh masuk dengan kekuatan penuh menentang musuh yang masih berada di situ,” kata Netanyahu dalam satu temu bual dengan stesen televisyen Israel i24 news tv.
Israel sebelum ini turut mencadangkan rancangan penempatan semula serupa dengan beberapa negara Afrika lain, termasuk Sudan dan Somalia.
Pengasas firma lobi AS, Joe Szlavik yang bekerjasama dengan negara itu berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai Sudan Selatan mengenai rundingan tersebut.
Beliau berkata, satu delegasi Israel merancang untuk melawat negara itu bagi meninjau kemungkinan membina kem bagi rakyat Palestin di sana.
Katanya, Israel berkemungkinan akan membiayai pembinaan kem sementara itu.
Ketua Kumpulan Masyarakat Sivil Sudan Selatan, Edmund Yakani turut memaklumkan mengadakan perbincangan dengan pegawai negara itu tentang rundingan berkenaan.
“Rakyat Sudan Selatan perlu mengetahui siapa yang akan datang dan berapa lama mereka merancang untuk tinggal, jika tidak, kemungkinan akan timbul permusuhan akibat isu sejarah dengan umat Islam dan orang Arab.
“Sudan Selatan tidak sepatutnya menjadi tempat pembuangan orang dan ia tidak sepatutnya menerima pelarian sebagai alat tawar-menawar untuk memperbaiki hubungan,” tegasnya.
Terdapat rakyat Palestin yang mahu meninggalkan Gaza buat sementara waktu bagi melarikan diri daripada peperangan dan krisis kebuluran besar-besaran namun menolak sebarang penempatan semula yang bersifat kekal.
Kebanyakan penduduk Palestin bimbang Israel tidak akan membenarkan mereka kembali dan penghijrahan besar-besaran itu akan memberi laluan kepada rejim Zionis merampas Gaza serta membina semula penempatan Yahudi di sana seperti yang disuarakan menteri-menteri sayap kanan dalam pentadbiran Netanyahu.
Rakyat Palestin juga dijangka tidak akan diterima baik di Sudan Selatan, antara negara paling tidak stabil dan bergolak di dunia, malah masih bergelut untuk pulih daripada perang saudara yang mengorbankan hampir 400,000 nyawa dan menyebabkan sebahagian wilayahnya dilanda kebuluran.










