GAZA: Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan seramai 20 orang terbunuh apabila sebuah trak membawa bantuan terbalik dan menghempap orang ramai yang sedang beratur untuk mendapatkan bekalan di tengah Semenanjung Gaza.
“Seramai 20 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera sekitar tengah malam tadi apabila sebuah trak yang membawa bekalan terbalik ketika ratusan orang awam sedang menunggu bantuan,” kata jurucakap agensi tersebut, Mahmud Bassal kepada AFP.
Insiden berlaku berhampiran kem pelarian Nuseirat, apabila trak itu dipaksa oleh tentera Israel untuk melalui jalan yang tidak selamat dan sebelum ini pernah dibom oleh anggota tentera rejim.
Tentera Israel ketika dihubungi AFP berkata, mereka sedang menyiasat laporan tersebut.
Hamas mendakwa Israel memaksa pemandu trak bantuan tersebut menggunakan laluan berbahaya untuk sampai ke pusat agihan dan tentera rejim sengaja berbuat demikian untuk mencetuskan kebuluran dan kekacauan.
“Israel memaksa pemandu melalui laluan yang sesak dengan orang awam yang kelaparan dan telah menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan keperluan asas.
“Keadaan ini sering menyebabkan orang ramai yang terdesak menyerbu trak-trak bantuan,” kata pejabat media Hamas dalam satu kenyataan.-AFP










