GAZA: Serangan kejam Israel di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 53 rakyat Palestin, termasuk seorang wartawan dan pekerja penyelamat, lapor pegawai perubatan.
Serangan udara melanda pusat kecemasan awam di kawasan pasar Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, mengorbankan wartawan video untuk TV Al Jazeera, Ahmed Al-Louh dan lima lagi yang lain.
Satu lagi serangan ke atas sebuah rumah di kem Nuseirat membunuh lima orang, termasuk kanak-kanak, menurut pakar perubatan.
Rangkaian TV Al Jazeera mengutuk tindakan Israel membunuh Ahmed yang dilaporkan sedang bekerja ketika serangan itu.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan Hamas dan pejuang Jihad Islam yang beroperasi dari pejabat Pertahanan Awam Gaza di Nuseirat.
Rejim itu menamakan Ahmed sebagai ahli kumpulan Jihad Islam, tanpa memberikan bukti.
Dalam pada itu, media Hamas berkata, ketua perkhidmatan kecemasan awam di Nuseirat, Nedal Abu Hjayyer turut terbunuh.
“Ibu pejabat kecemasan awam di kem Nuseirat dibedil semasa kehadiran kru yang sedang bekerja sepanjang masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata wakil perkhidmatan kecemasan awam, Zaki Emadeldeen kepada pemberita di hospital.
Satu lagi serangan udara melanda sekumpulan lelaki berkaitan Hamas yang ditugaskan untuk melindungi trak bantuan di barat Gaza City, mencederakan beberapa orang.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam tiga serangan udara Israel ke atas kediaman di Gaza dengan sembilan terbunuh di bandar Beit Lahiya, Beit Hanoun dan kem Jabalia apabila ratusan rumah dibom atau dibakar.
Menurut penduduk, dua lagi turut terbunuh dalam serangan di Rafah.
Tentera Israel menuduh tiga rumah di Gaza City adalah milik pejuang yang merancang serangan yang akan berlaku.
Rejim itu berkata, langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko kepada orang awam, termasuk penggunaan peluru yang tepat dan pengawasan udara.
Di selatan Khan Younis, pakar perubatan memaklumkan sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh apabila serangan udara melanda sebuah pusat perlindungan yang menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Di Beit Hanoun, penduduk berkata, tentera Israel mengepung keluarga yang berlindung di sekolah Khalil Aweida sebelum menyerbu dan mengarahkan mereka menuju ke Gaza City.
Pakar perubatan berkata, beberapa orang terbunuh dan cedera semasa serbuan itu manakala tentera menahan ramai lelaki.
Secara berasingan, Israel berkata, pesawatnya membedil pusat arahan dan kawalan di kawasan klinik Abu Shabak di utara Gaza yang digunakan oleh Hamas untuk menyimpan senjata dan merancang serangan, menyebabkan pusat perubatan itu musnah.
Rakyat Palestin menuduh Israel melakukan pembersihan etnik untuk mengurangkan penduduk di pinggir utara Gaza bagi mewujudkan zon penampan.-REUTERS










