DAMSYIK: Seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang hilang selama berbulan-bulan selepas menjejakkan kaki ke Syria berjaya ditemukan selepas dia dibebaskan dari pusat tahanan di ibu negara Damsyik.
Menurut laporan berita Anadolu, Travis Pete Timmerman dibebaskan dari Palestine Branch (Far Falastin), pusat tahanan dan penyeksaan di Damsyik bersama beribu-ribu tahanan lain selepas kejatuhan rejim Ba’ath pada Ahad lalu.
Timmerman memberitahu, dia telah ditangkap oleh pasukan keselamatan sempadan Syria tujuh bulan lalu ketika berada di pergunungan antara Lubnan dan Syria.
Menurut lelaki berusia 29 tahun itu, dia mengembara dari AS ke Eropah pada Mac dan tiba di Zahle di timur Lubnan pada Mei sebelum memasuki Syria.
Polis di Missouri di selatan AS melaporkan bahawa kali terakhir Timmerman dihubungi adalah pada 2 Jun lalu.
Pegawai berkata, dia kali terakhir dilihat pada 28 Mei di Gereja Baptist Antarabangsa di Budapest, Hungary.
Polis Budapest memfailkan laporan orang hilang untuknya pada 26 Ogos lalu.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membawa Timmerman keluar dari Syria dan menghantarnya pulang.










