Misteri kubur besar di Lapangan Terbang Damsyik

Misteri kubur besar di Lapangan Terbang Damsyik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Agensi berita Anadolu melaporkan penemuan kawasan kubur besar di daerah Husayniyya di ibu kota Damsyik yang dipercayai menjadi lokasi mayat mangsa kekejaman rejim Bashar al-Assad ‘disorokkan’.

Penemuan itu dibuat selepas usaha mencari dan penyiasatan diteruskan di seluruh Syria berikutan kejatuhan rejim Bashar.

Kubur besar itu terletak di bahagian tenggara ibu negara, tepat di belakang Lapangan Terbang Damsyik.

Disyaki lebih 100 lubang, setiap satu berukuran sekitar 20 meter dalam, digunakan sebagai kubur dengan mayat ditanam di atas satu sama lain.

Pengawal tanah perkuburan di Husayniyya, Eymen Halil yang berkongsi kisah kubur besar itu memberitahu, beliau menyaksikan sendiri peristiwa sekitar pembentukannya ketika bekerja di kawasan berkenaan sejak 2005.

“Pada suatu hari, sebuah kenderaan besar tiba. Apabila mereka membuka pintu, bau busuk tersebar ke udara. Saya hampir muntah dan berundur kerana tidak tahan,” katanya.

Eymen mengenal pasti individu yang tiba di lokasi itu sebagai pasukan keselamatan.

Dia menceritakan pengalaman dipanggil masuk ke tapak itu tetapi menolak kerana rakannya yang pergi tidak pernah pulang.

Beliau menerangkan bagaimana pasukan keselamatan membawa sekitar 150 mayat setiap kali masuk ke kawasan itu.

“Mereka menggali lubang, membawa mayat, membuangnya ke sana dan kemudian pergi. Mereka pada mulanya datang pada waktu siang, tetapi kemudian mula datang pada waktu malam.

“Mereka mengebumikan mayat sekali atau dua kali seminggu. Apabila trak atau jengkaut tiba, jelas mereka berada di sana untuk mengebumikan seseorang,” katanya.

Pengawal itu menegaskan bahawa ratusan orang telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.

“Walaupun tidak mengenali secara peribadi individu yang datang untuk mengebumikan mayat itu, kami berdoa kepada Tuhan agar identiti mereka didedahkan. Kami sangat pasti bahawa tempat ini dipenuhi dengan orang mati,” katanya.

Seorang penduduk Damsyik, Mazhar Arakusi yang mempunyai empat saudara lelaki turut berkongsi kepada Anadolu tentang usaha mencari mayat abangnya di kubur besar itu.

“Pada malam 3 Januari 2014, mereka datang ke rumah kami dan membawa kami pergi. Kami empat beradik ditahan dalam penjara untuk tempoh yang lama dan diseksa selama lima bulan.

“Tetapi tiga sahaja yang berjaya keluar termasuk saya. Abang saya mati akibat penyeksaan. Kami juga mengalami banyak penyeksaan dan kami menyerahkannya kepada Tuhan.

“Kami mendengar bahawa kubur besar telah ditemui di sini. Kami datang ke sini dengan harapan untuk menemui mayatnya atau tulangnya. Kami ingin menjalankan ujian DNA dan mengebumikannya mengikut cara Islam,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar semua mayat yang digali dari kubur besar itu dapat dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga mereka.

“Apabila anda tahu orang di dalam kubur itu adalah saudara anda, tetapi anda tidak tahu di mana mereka berada, anda hanya berdoa,” katanya.

Syria terlibat dalam perang saudara yang kejam sejak awal 2011 apabila rejim Bashar bertindak keras terhadap protes pro-demokrasi dengan keganasan yang tidak dijangka.

Lebih lima juta orang awam kehilangan tempat tinggal ketika Bashar memerintah Syria selama hampir 25 tahun.

Beliau melarikan diri ke Russia pada 8 Disember lalu selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik.

Pengambilalihan itu berlaku selepas pejuang Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menawan bandar-bandar utama di seluruh negara dalam serangan pantas yang berlangsung hanya kurang dua minggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN