TEHERAN: Sekolah dan bangunan awam di ibu negara Iran ditutup untuk hari ketiga pada Selasa selepas beberapa loji janakuasa ditutup berikutan kekurangan bahan api, lapor televisyen negara.
Iran adalah gergasi tenaga dan memegang salah satu rizab gas asli terbesar di dunia, tetapi masih terpaksa mencatu tenaga elektrik dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan menutup sekolah serta bangunan kerajaan.
Suhu bawah sifar terus direkodkan di seluruh negara.
Presiden, Masoud Pezeshkian yang menyokong pengurangan penggunaan bahan api, memohon maaf kepada rakyatnya dan berjanji masalah itu akan diselesaikan menjelang tahun depan.
Televisyen negara memetik kenyataan kerajaan berkata, disebabkan cuaca sejuk yang berterusan, sekolah, universiti dan pejabat kerajaan di Teheran dan sekitarnya akan ditutup esok.
“Sebuah loji berkuasa gas di wilayah Lorestan barat ditutup sebahagiannya pada Isnin kerana peningkatan penggunaan gas dalam kalangan isi rumah,” menurut agensi berita negara IRNA.
Ia susulan langkah pada Ahad oleh wilayah utara Golestan untuk menutup loji dan catuan elektrik, menurut media tempatan.
Orang ramai juga dilanda masalah terputus bekalan elektrik di seluruh negara, termasuk di Teheran.
Semalam, IRNA melaporkan, langkah sekatan itu menjimatkan dua juta meter padu gas dan 100MW elektrik dalam tempoh 24 jam.-AFP










