30 terbunuh serangan Israel di pejabat pos Gaza

30 terbunuh serangan Israel di pejabat pos Gaza

SEORANG wanita melihat keadaan bangunan yang musnah akibat serangan Israel berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Serangan kejam Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin dan mencederakan 50 lagi orang awam yang berlindung di kawasan pejabat pos di tengah Semenanjung Gaza.

Konflik yang berusia 14 bulan itu masih belum menunjukkan tanda-tanda akan terhenti, malah Israel dilihat semakin ‘galak’ melancarkan serangan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal serta pembebasan segera semua tebusan Rabu lalu.

Serangan terbaharu itu memusnahkan kemudahan pos di kem Nuseirat di mana ribuan keluarga mencari perlindungan dan merosakkan beberapa rumah berdekatan.

Terdahulu, dua serangan di selatan Gaza mengorbankan 13 rakyat Palestin yang bertugas melindungi trak bantuan kemanusiaan selepas tentera Israel mendakwa mereka adalah anggota Hamas yang cuba merampas penghantaran tersebut.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, dua serangan udara itu bertujuan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan selamat dan menuduh anggota Hamas merancang untuk menghalang bantuan daripada sampai kepada orang awam Gaza yang memerlukan.

Kenyataan itu turut mendakwa anggota Hamas menyasarkan untuk merampas bantuan itu kononnya bagi menyokong aktiviti pengganas yang berterusan.

Kumpulan bersenjata dilaporkan berulang kali merampas trak bantuan menyebabkan Hamas berusaha membentuk pasukan petugas untuk menanganinya. 

Hamas berkata, serangan tentera Israel sebaliknya membunuh sekurang-kurangnya 700 polis yang ditugaskan untuk mengamankan trak bantuan di Gaza sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023. 

“Pasukan pimpinan Hamas telah membunuh lebih 24 anggota kumpulan itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Israel yang sebenarnya cuba melindungi pencuri dan mencipta anarki dan huru-hara untuk menghalang bantuan daripada sampai ke Gaza dan penduduk yang memerlukan,” katanya.

Dalam insiden berasingan, tentera Israel memaksa penduduk beberapa daerah di tengah-tengah Gaza untuk berpindah, mendakwa sedang bertindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari kawasan tersebut.

“Ini adalah pra-amaran sebelum serangan,” tulis kenyataan yang disiarkan di laman X dengan beberapa penduduk turut menerima isyarat teks dan audio tersebut pada telefon bimbit mereka.

Arahan itu menyebabkan gelombang baharu perpindahan apabila berpuluh-puluh keluarga terpaksa keluar menuju ke pusat bandar ketika waktu tengah malam.

Menurut agensi beria WAFA, pengeboman Israel ke atas bangunan kediaman di jalan al-Jalaa dan sebuah rumah di barat Nuseirat turut membunuh 22 orang.

Pegawai kesihatan berkata, seorang doktor ortopedik, Saeed Judeh, ditembak mati oleh tentera Israel ketika dalam perjalanan ke Hospital Al-Awda di mana beliau sering membantu merawat pesakit.

Kementerian kesihatan berkata, kematiannya meningkatkan jumlah korban pekerja penjagaan kesihatan kepada 1,057 orang sejak perang bermula.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN