GAZA: Sekurang-kurangnya 96 rakyat Palestin terbunuh dan 60 lagi cedera dalam serangan udara Israel di utara dan tengah Semenanjung Gaza, lapor pihak berkuasa tempatan.
Serangan udara oleh tentera Israel ke atas sebuah blok kediaman lima tingkat di Beit Lahia, utara Gaza, meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut agensi pertahanan awam tempatan.
Menurut kenyataan yang dipetik oleh AFP, puluhan lagi mangsa masih dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan, manakala tujuh individu mengalami kecederaan.
Sementara itu, seramai 24 lagi rakyat Palestin terbunuh dan 60 lagi cedera dalam serangan berasingan di tengah Gaza.
Tentera Israel menjelaskan serangan itu disasarkan kepada Hamas di utara Gaza, termasuk Beit Lahia, dalam usaha untuk menghalang kumpulan itu daripada menyusun semula kekuatan mereka.
Kempen darat Israel di utara Gaza telah menyebabkan sehingga 130,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam tempoh lima minggu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 75,000 orang masih terperangkap di Jabalia, Beit Lahia dan Beit Hanoun dengan bekalan air dan makanan semakin berkurangan.
Laporan oleh Human Rights Watch minggu ini mendakwa Israel telah melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan melalui pemindahan besar-besaran penduduk Palestin di Gaza.
Sejak Oktober 2023, kira-kira 1.9 juta orang atau 90 peratus daripada penduduk Gaza telah meninggalkan rumah mereka, dengan 79 peratus kawasan Gaza di bawah arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh Israel, menurut PBB.
Kempen ketenteraan Israel dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan 251 individu dijadikan tebusan.
Sehingga kini, lebih 43,700 nyawa terkorban di Gaza, menurut kementerian kesihatan Gaza. -REUTERS











