Tiada ubat sekat menopaus - Utusan Malaysia

Tiada ubat sekat menopaus

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sofiah Sulaiman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“HENDAK kembali muda macam dulu-dulu?” Ini antara ayat iklan menjual ubat bagi memancing wanita hampir atau sudah memasuki fasa Menopaus. Ubat yang diiklankan itu mendakwa boleh mengembalikan haid yang terputus selepas Menopaus atau menghalang daripada berlakunya menopaus.
Hakikatnya menopaus adalah kejadian normal yang terjadi pada wanita yang tidak boleh diubah atau disekat dengan ubat-ubatan atau kaedah lain.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sofiah Sulaiman berkata, pengambilan ubat dan jamu untuk mengelakkan menopaus adalah tidak sihat dan mungkin boleh memudaratkan kesihatan.
“Wanita tidak perlu sedih dan malu sebab menopaus kerana ia adalah proses semulajadi kehidupan yang akan ditempuh setiap wanita.
“Pengambilan ubat untuk mengembalikan haid boleh mengundang risiko tidak diingini. Malah bukan normal sekiranya datang haid lagi selepas tidak datang haid selama 12 bulan secara berterusan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Justeru, beliau menasihatkan wanita yang memasuki fasa menopaus supaya tidak mengambil ubat tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor. Antara bahaya, sekiranya berlaku pendarahan selepas beberapa tahun menopaus adalah risiko kanser rahim walaupun ia jarang berlaku.

RAWATAN Menopaus
Terapi Penggantian Hormon (HRT) adalah rawatan untuk melegakan gejala menopaus. HRT menggantikan tahap hormon wanita iaitu estrogen dan progesteron yang berkurangan selepas Menopaus.
Kedua-dua hormon ini memainkan peranan penting. Tahap hormon yang rendah akan meninggalkan kesan ke atas fizikal dan emosi wanita seperti rasa panas, perubahan mood dan kekeringan vagina.
Dr. Sofiah berkata, pengambilan pil HRT adalah selamat untuk wanita yang sihat tetapi mengalami gejala menopaus.
“Pengguna HRT sebaiknya berumur kurang daripada 60 tahun atau dalam jangka masa 10 tahun dari umur menopaus. Wanitu itu juga tiada sejarah penyakit kanser payudara, penyakit koronari arteri, strok atau venous thromboembolic event,” katanya.
Katanya pengambilan pil HRT untuk pencegahan penyakit adalah tidak di galakkan.
“Bagaimanapun, pil HRT selalunya dikaitkan dengan kanser payudara berdasarkan kajian terkini. Pengambilan pil HRT yang melebihi 10 tahun berisiko untuk mendapat kanser payudara. Bagaimanapun, penggunaan jangka masa pendek tidak mempunyai risiko tinggi yang signifikan, “ katanya.

TANDA-TANDA YANG MEMBIMBANGKAN
Dr. Sofiah berkata, tanda-tanda awal menopaus adalah rasa panas atau hot flashes, kesukaran tidur malam, depresi, perubahan kognitif dan perubahan mood atau mood swing.
“Tanda-tanda ini mungkin bermula beberapa tahun sebelum menopaus klinikal dan ia tidak memudaratkan. Bagaimanapun, ada wanita yang mengalami kesukaran untuk menangani gejala ini.
“Perubahan hormon pada masa ini boleh juga menyebabkan kitaran haid tidak normal. Ini boleh memudaratkan sekiranya tempoh haid menjadi panjang dan banyak, “ terangnya.
Malah, katanya kehilangan darah yang banyak boleh menyebabkan wanita menjadi cepat letih dan tidak bermaya. Gejala begini memerlukan rawatan.

CARA ATASI GEJALA
Gejala menopaus boleh mengganggu kehidupan seharian wanita terbabit. Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengatasi gejala menopaus.
Antaranya, menjalani cara hidup sihat iaitu beriadah dan amalan diet sihat serta seimbang.
“Wanita menopaus berisiko mendapat osteopo­rosis. Senaman yang sesuai boleh mengu­atkan otot.
“Aktiviti seperti ‘tai chi’ adalah baik kerana melibatkan keseimbangan badan, aktiviti berjalan juga sangat baik kerana ia juga menguatkan otot tulang belakang.
“Sena­man secara keselu­ruhan terbukti dapat mengu­rangkan risiko patah tulang pinggul dan mempunyai kesan positif kepada densiti tulang, “ katanya.
Kebanyakan menopaus awal adalah di luar kawalan. Tabiat merokok adalah faktor gaya hidup yang mungkin menyebabkan menopaus awal. Faktor lain seperti masalah kesihatan, pembedahan atau rawatan kanser.

Definisi menopaus:
Menopaus adalah apabila tiada datang haid selama 12 bulan secara berterusan.

Menopaus awal didefinisikan:
Mencapai menopaus sebelum berusia 45 tahun.
Sekiranya menopaus sebelum berusia 40 tahun, ia dinamakan ‘premature ovarian insufficiency’(POI) dan memerlukan siasatan lanjut.

Penyebab kepada POI antaranya adalah:
 Masalah genetik (sindrom Turner).
 Mempunyai sejarah rawatan kanser
 Sejarah penyakit autoimun seperti SLE dan merokok.
 Tidak dapat dipastikan mengapa ada wanita yang menopaus di usia yang berbeza sama ada 48 tahun atau 55 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya