Bintang Baharu Fesyen: Sara Alysha
Koleksi: Corrupted Beauty
Emel: [email protected]
Ada satu perkara yang berubah apabila diri menjadi dewasa. Kita tidak lagi jatuh cinta pada pakaian hanya kerana gayanya cantik. Kita mula mencari helaian yang ada cerita, ada jiwa dan ada sebab untuk disimpan.
Sebab itulah ada baju yang kita pakai sekali, kemudian hilang entah ke mana. Tetapi ada juga helaian yang kita simpan bertahun-tahun kerana setiap kali memakainya, ada rasa yang tidak mampu dijelaskan.
Fesyen yang benar-benar hebat bukan sekadar membuat orang menoleh. Ia membuat kita rasa sesuatu. Itulah yang saya rasakan apabila melihat koleksi Corrupted Beauty hasil pereka muda, Sara Alysha, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Mungkin namanya masih baharu dalam industri, tetapi keberaniannya cukup mencuri perhatian. Ketika ramai pereka memilih menghasilkan busana yang mudah diterima, Sara Alysha memilih untuk membina sebuah naratif.
Mutiara dijadikan lambang keanggunan dan kelembutan, manakala permainan rona hijau lumut, biru laut dan gangsa yang bertekstur membawa kisah tentang sisi yang tidak kelihatan pada pandangan pertama. Daripada gabungan dua dunia yang bertentangan itu, lahirlah sebuah koleksi couture yang terasa artistik, segar dan penuh emosi.
Namun, perkara yang paling memikat perhatian saya bukanlah sulaman mutiara yang dijahit dengan teliti atau hiasan kepala yang dramatik. Sebaliknya ialah cara dia bermain dengan siluet.
Bentuk cangkerang diterjemahkan menjadi bahu yang lebih berstruktur, panel yang membentuk dimensi pada tubuh dan skirt berarca yang kelihatan seperti melindungi sebutir mutiara di dalamnya.
Ia mengingatkan kita fesyen tidak semestinya mengikut bentuk badan. Kadang-kadang, pakaian yang memberikan bentuk kepada keyakinan diri itulah yang paling menyerlahkan keperibadian seseorang.

Trend ini sebenarnya semakin jelas dalam dunia fesyen hari ini. Wanita Malaysia semakin berani bereksperimen dengan potongan yang mempunyai karakter. Tidak lagi sekadar mencari pakaian yang “selamat”, tetapi helaian yang mampu meninggalkan kesan walaupun tanpa corak yang sarat atau warna yang terlalu terang. Elegan hari ini bukan tentang berlebihan.
Elegan ialah apabila orang masih mengingati penampilan kita walaupun selepas majlis berakhir.
Kalau ada satu tip yang boleh dipinjam daripada koleksi ini, biarlah siluet menjadi watak utama. Jika pakaian sudah mempunyai potongan yang dramatik, ringankan aksesori dan pilih kasut yang bersih rekaannya.
Sebaliknya, jika busana lebih minimalis, tambahkan elemen bertekstur seperti subang mutiara moden, beg dengan kemasan unik atau fabrik yang mempunyai permukaan menarik. Dalam dunia fesyen, tidak semua perkara perlu menonjol pada masa yang sama.
Selalunya, satu perincian yang tepat lebih berkuasa daripada sepuluh aksesori yang saling berebut perhatian. Saya juga tertarik dengan cara Sara Alysha menggunakan mutiara. Ia bukan sekadar hiasan klasik yang sering dikaitkan dengan imej tradisional, sebaliknya disusun secara organik sehingga terasa hidup dan moden.
Di situlah letaknya kekuatan seorang pereka. Dia tidak hanya menghasilkan pakaian yang cantik di mata, tetapi mencipta pengalaman untuk mereka yang memakainya. Mencari tempat dalam industri fesyen bukan mudah, apatah lagi bagi seorang pereka muda yang baru menamatkan pengajian.
Namun, setiap helaian dalam koleksi ini membuktikan Sara Alysha tidak cuba menjadi bayangan orang lain. Dia memilih untuk membina identitinya sendiri, dan itulah langkah pertama yang paling penting dalam dunia fesyen.

Saya sentiasa percaya, suatu hari nanti kita mungkin terlupa warna kasut yang dipakai ke sesuatu majlis atau jenama beg yang dibawa. Tetapi kita tidak pernah lupa bagaimana sesuatu pakaian membuatkan kita rasa tentang diri sendiri.
Dan jika seorang graduan muda sudah mampu menghasilkan karya yang meninggalkan rasa itu, beberapa tahun dari sekarang, kita akan melihat namanya di pentas dunia sambil tersenyum.










