“Bersara daripada skuash bukan mudah, menukar babak baharu dalam kehidupan juga sangat mencabar. Namun saya beruntung kerana ada yang mengingatkan saya sesuatu yang sangat penting dalam mengharunginya”
Datuk Nicol Ann David, 42, berkata dalam mencari hala tuju selepas bersara, dia beruntung kerana rakannya, Mariana de Reyes mengingatkannya disiplin dan dedikasi bagi meraih kedudukan sebagai juara dunia dan pemain nombor satu skuash perlu dijadikan asas untuk terus menyumbang kepada negara.
“Ciri-ciri ini sentiasa memberi inspirasi kepada saya Saya menyedari fasa seterusnya dalam hidup adalah memanfaatkan segala ilmu yang saya pelajari untuk membuka peluang kepada orang lain.
“Kini, Nicol David Organization sudah beroperasi selama empat tahun dalam usaha memperkasakan 2700 kanak-kanak dan komuniti menerusi sukan, pendidikan dan kesihatan mental, “ katanya.
Nicol berkata demikian selepas menerima Anugerah Merdeka 2026 baru-baru ini yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, merangkap Penaung Diraja dan Pengerusi Amanah Anugerah Merdeka.

Datuk Dr. Aini Ideris.
Bagi beliau, anugerah itu adalah detik kemuncak dalam hidupnya, bukan sekadar diiktiraf sebagai atlet yang menyumbang kepada Malaysia, malah menjadi bukti sumbangan terhadap sesuatu yang jauh lebih besar serta memainkan peranan dalam berbakti semula kepada negara.
“Melalui NDO, saya hanya mahu kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk belajar daripada sukan, mempelajari nilai yang ditawarkannya, mempunyai disiplin, berdaya tahan dan berkeyakinan.
Sukan adalah cara terbaik mempelajari semua ini. NDO kini memasuki tahun keempat, memberi manfaat kepada lebih 2700 peserta menerusi empat program komuniti di tiga negeri,” katanya.
Enam lagi individu dan satu organisasi turut menerima anugerah yang mengiktiraf pencapaian yang mencerminkan semangat kecemerlangan, integriti dan khidmat bakti kepada negara dan masyarakat.
MERCY Malaysia menerima anugerah bagi kategori Pendidikan & Komuniti atas sumbangan cemerlang dalam bantuan kemanusiaan kecemasan dan kerja-kerja bantuan di Malaysia serta lebih daripada 35 buah negara.
Prof. Dr. Chan Eng Heng menerima anugerah Kategori Alam Sekitar & Kesihatan Planet atas dedikasi sepanjang hayat beliau dalam memelihara populasi penyu di Malaysia dan memajukan usaha pemuliharaan marin.
Sumbangan Cemerlang dalam Sains, Teknologi & Inovasi dianugerahkan kepada dua penerima iaitu Ahli Akademik Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris attas usaha merintis inovasi veterinar yang memperkukuh keselamatan makanan dan kesihatan haiwan dan Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail.
Prof. Emerita Datuk Dr. Asmah Omar pula menerima anugerah bagi kategori Pencapaian Cemerlang Ilmiah dan Akademik, manakala Ahli Akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Omar Abdul Rahman menerima Anugerah Khas Merdeka.
Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou, menerima Anugerah Harapan Merdeka atas pencapaiannya mengangkat kedudukan Malaysia dalam para badminton dunia serta memberi inspirasi kepada golongan orang kurang upaya menerusi kecemerlangan sukan.
Cipta vaksin ayam
Datuk Dr. Aini Ideris,73, merintis vaksin ayam kalis haba dan diagnostik pantas sejak 1995,yang kritikal dalam membendung selesema burung di wilayah di mana ayam adalah sumber protein mampu milik yang utama, sekali gus memperkukuh keselamatan bekalan makanan.
Vaksin penyakit Newcastle kalis haba ini adalah yang pertama di Malaysia (NDV4-UPM) dan vaksin haiwan terbitan universiti pertama yang didaftarkan serta dikomersialkan secara global (NDV4-UPM, cacar unggas).
“Penyakit Newcastle kalis haba merujuk kepada vaksin penyakit Newcastle (sampar ayam atau tetelo) yang direka khas supaya tahan lama dalam cuaca panas tanpa memerlukan peti sejuk. Virus penyakit Newcastle yang asal sebenarnya tidak kalis haba.
“Namun, saintis mencipta vaksin strain khas yang kalis haba untuk memudahkan penternak ayam di kawasan luar bandar yang sukar mendapat bekalan elektrik.
“Ia boleh bertahan di suhu bilik biasa, sangat membantu penternak kecil-kecilan di kampung atau kawasan tropika yang panas. Ia boleh dicampur dalam makanan atau air minuman ayam,” katanya.
Katanya vaksin penting dalam melindungi ayam daripada sakit menerusi pengeluaran antibodi dalam badan ayam untuk melawan penyakit seperti sampar ayam, cacar ayam dan penyakit jangkitan ayam yang membunuh ayam dan merugikan penternak.
Ujian tifoid mampu milik
Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail,68, membangunkan dan mengkomersialkan TYPHIDOT, iaitu kit ujian diagnostik pantas yang mampu milik untuk demam kepialu (typhoid). Typhidot berjaya mengubah kaedah diagnosis penyakit ini di negara-negara membangun.

Kaedah itu menjadi satu penemuan sains yang amat penting kerana ia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan digunakan secara meluas di seluruh dunia
Sebelum TYPHIDOT dicipta, diagnosis demam kepialu bergantung kepada kaedah lama seperti Ujian Widal atau kultur darah yang memakan masa sehingga 3 ke 5 hari. Namun dengan TYPHIDOT keputusan ujian boleh diperoleh dalam masa 1 hingga 2 jam sahaja.










