Watak The Queen of Hearts dalam dongeng klasik Alice in Wonderland menjadi tunjang kepada koleksi The Realm of Reverie.
Pereka muda, Amni Faqihah Roslan menterjemahkan persona watak ikonik itu menerusi gabungan siluet klasik dan elemen moden yang mengangkat tema kuasa, keberanian serta pencarian identiti.
Katanya, keunikan utama koleksi itu terletak pada kontras antara kelembutan dan struktur yang menggambarkan pertembungan dunia fantasi serta logik.
Selari dengan konsep tersebut, palet warna merah dan emas dipilih bagi menyerlahkan simbol kuasa dan keberanian yang sinonim dengan The Queen of Hearts.

Malah, penggunaan tekstur renda berlapis dan siluet unik menjadikan setiap helaian tampil seperti arca yang boleh dipakai, sekali gus mencerminkan personaliti bebas serta berkeyakinan tinggi.
Koleksi ini turut menonjolkan siluet berstruktur menerusi penggunaan box pleats dan potongan flare yang memberikan volum serta pergerakan dramatik.
Perincian utama, iaitu teknik ruching, diaplikasikan secara padat pada fabrik bagi menghasilkan tekstur yang tegang dan berlapis.
“Kedua-dua elemen tersebut menghasilkan tekstur art-to-wear yang teliti, sekali gus memberikan kesan visual yang mendalam,” katanya.
Amni Faqihah berkata, cabaran terbesarnya dalam penghasilan koleksi ini adalah memastikan ketelitian pada setiap box pleats, terutama dengan kuantitinya yang banyak.
Katanya, proses itu menuntut kesabaran tinggi.










