RGT3 perkukuh bekalan gas, dijangka mula operasi suku kedua 2029 - Utusan Malaysia

RGT3 perkukuh bekalan gas, dijangka mula operasi suku kedua 2029

AKMAL Nasrullah berucap merasmikan Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membangunkan Terminal Penggasan Semula Ketiga (RGT3) di Lumut, Perak, bagi memperkukuh keselamatan bekalan gas negara ketika ketidaktentuan geopolitik dan pasaran tenaga global terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta harga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Petronas Gas Berhad menggunakan konsep Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU), dengan operasi komersial disasarkan bermula pada suku kedua 2029.

“Pembangunan RGT3 dijangka meningkatkan daya tahan dan fleksibiliti infrastruktur bekalan gas negara, selain memenuhi pertumbuhan permintaan tenaga domestik serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap keselamatan tenaga Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keselamatan tenaga bukan sekadar keutamaan sektor tenaga, sebaliknya menjadi faktor penting dalam menentukan daya saing ekonomi negara, khususnya ketika industri pembuatan termaju, pusat data dan sektor digital terus berkembang,” katanya dalam ucapan sempena Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2026 di sini.

Menurut beliau, Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan terhadap keadaan pasaran global yang menguntungkan dengan memperkukuh kepelbagaian sumber bekalan, strategi perolehan, kesiapsiagaan infrastruktur dan mekanisme pasaran yang berkesan.

“Gangguan perdagangan gas asli cecair (LNG) antarabangsa tahun ini turut memberi kesan terhadap ketersediaan bekalan dan meningkatkan turun naik harga di rantau ini, sekali gus menekankan keperluan Malaysia membina daya tahan bekalan sendiri.

“Sehubungan itu, pembangunan sumber gas domestik, kepelbagaian sumber import LNG dan penyediaan infrastruktur yang mencukupi perlu dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan bekalan dapat disalurkan kepada pengguna dengan cekap dan pada kos yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, Akmal berkata, pendekatan pembangunan sumber domestik juga perlu mengambil kira perbezaan kedudukan sumber dan keperluan pembangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan kerjasama kerajaan negeri serta pemain industri berkaitan.

“Malaysia memasuki tahun-tahun mendatang dengan prospek ekonomi yang berdaya tahan, dengan Belanjawan 2027 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada tahun depan, selepas pertumbuhan dianggarkan antara 4.8 hingga 5.3 peratus pada 2026.

“Bagaimanapun, perkembangan industri berteknologi tinggi dan ekonomi digital dijangka meningkatkan keperluan terhadap bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan kompetitif dari segi kos,” katanya.

Bagi sektor perniagaan, kepastian bekalan tenaga penting untuk menyokong pengembangan operasi, manakala kos dan kebolehpercayaan bekalan elektrik turut mempengaruhi perbelanjaan isi rumah.

“Justeru, Malaysia perlu memastikan perancangan bekalan gas dan pembangunan infrastruktur dilaksanakan lebih awal memandangkan keputusan pelaburan dalam sektor itu lazimnya melibatkan komitmen jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini