Hasil industri OGSE diunjur meningkat dalam tempoh tiga tahun - Utusan Malaysia

Hasil industri OGSE diunjur meningkat dalam tempoh tiga tahun

AKMAL NASRULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan hasil dan nilai pengeluaran industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) melonjak dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang menerusi pemerkasaan penguasaan pasaran antarabangsa.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi Program Akses Pasaran Antarabangsa (IMAP) di bawah Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) bagi membantu syarikat tempatan meluaskan liputan perkhidmatan ke luar negara.

Beliau berkata, langkah meneroka pasaran global penting bagi meningkatkan daya tahan syarikat OGSE tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran domestik semata-mata.

“Pada 2023, premis industri OGSE mencatatkan output kasar sebanyak RM79 bilion dan nilai tambah RM39.4 bilion. Menerusi usaha ini, kita dapat mengukuhkan eksport perkhidmatan negara.

“Hasil pendedahan pasaran antarabangsa ini, kita menjangkakan perkembangan positif dan berharap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, terdapat peningkatan nyata dari segi output serta hasil yang dijana daripada pasaran eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas program MPRC International Market Access Programme (IMAP): Privet OGSE Turkmenistan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan Turkmenistan sebagai pintu masuk strategik ke Asia Tengah didorong oleh hubungan dua hala yang kukuh serta rekod prestasi jangka panjang syarikat tenaga negara, Petronas di negara berkenaan.

Langkah itu juga susulan penganjuran sesi libat urus Malaysia–Turkmenistan pada Jun 2026 yang menyaksikan MPRC mengadakan pertemuan dengan Turkmennebit dan Turkmengas bagi memajukan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama perniagaan.

“Sebagai permulaan, sebanyak 14 syarikat OGSE tempatan bersedia menjadi sebahagian daripada delegasi ke Turkmenistan pada Oktober depan bagi meneroka peluang perniagaan di sana.

“Inisiatif teraju MPRC ini berhasrat memanfaatkan keyakinan dan trek rekod sedia ada bagi membuka peluang komersial baharu buat pemain OGSE tempatan,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Ekonomi juga sedang menyediakan Pelan Hala Tuju Gas Negara (NGR) bagi memastikan industri gas terus menjadi tulang belakang kepada proses peralihan tenaga serta menjamin kestabilan bekalan tenaga negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×