PETALING JAYA: Carimin Petroleum Bhd. (CPB) melalui anak syarikat milik 90 peratusnya, Sri Borneo Energy Sdn Bhd (SBE) bercadang mengambil alih tanah pajakan dan bangunan di Lot 342, Blok 8, Tanah Muara Tebas, Sarawak pada harga RM21.12 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CPB berkata, SBE pada 14 September 2026 memeterai perjanjian jual beli dengan Sarwaja Timur Sdn. Bhd. bagi pengambilalihan hartanah berkenaan.
Menurutnya, cadangan pengambilalihan itu dibuat pada asas pembeli bersedia dan penjual bersedia selepas rundingan, dengan mengambil kira lokasi, keluasan tanah, baki tempoh pajakan, bangunan sedia ada dan cadangan penggunaannya.
“Cadangan pengambilalihan akan membolehkan pengaktifan semula perniagaan galvanisasi dan fabrikasi logam dengan memanfaatkan rekod prestasi serta pengiktirafan pelanggan yang dimiliki oleh loji terdahulu.
“SBE kemudiannya akan berkembang ke lebih banyak segmen industri dan pasaran bagi pertumbuhan masa depan,” katanya.
CPB berkata, kira-kira 90 peratus daripada harga pembelian itu akan dibiayai melalui pinjaman bank, manakala baki 10 peratus menggunakan dana yang dijana secara dalaman.
Menurutnya, SBE kini dalam proses mendapatkan pembiayaan yang diperlukan, dengan nisbah akhir pembiayaan tertakluk kepada pemuktamadan dan pengesahan bahagian kewangan.
“Cadangan pengambilalihan itu tertakluk kepada SBE mendapatkan persetujuan bertulis menteri yang bertanggungjawab terhadap tanah di Sarawak bagi pemindahan hartanah berkenaan.
“SBE perlu mengemukakan dan meneruskan permohonan tersebut dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian jual beli.
“Sekiranya persetujuan tidak diperoleh dalam tempoh berkenaan, tempoh itu akan dilanjutkan secara automatik selama tiga bulan lagi,” jelasnya.
Syarikat berkata, sekiranya persetujuan masih belum diperoleh selepas tempoh berkenaan dan tiada lanjutan lanjut dipersetujui, perjanjian jual beli akan ditamatkan dan semua wang yang telah dibayar SBE akan dipulangkan tanpa potongan.
“Selepas persetujuan diperoleh, SBE perlu membayar baki harga pembelian dalam tempoh tiga bulan.
“Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perjanjian jual beli sekiranya lanjutan automatik tiga bulan bagi tempoh bersyarat diperlukan,” ujarnya. – UTUSAN








