KUALA LUMPUR: Malaysia menjangkakan kira-kira sembilan gigawatt (GW) kapasiti kuasa gas akan diperlukan menjelang 2032 bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat, ketika negara secara berperingkat menghentikan penjanaan berasaskan arang batu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keperluan tambahan kapasiti jana kuasa itu perlu diurus dengan teliti bagi memastikan bekalan elektrik kekal mencukupi, selain memenuhi komitmen negara mengurangkan jejak karbon sektor tenaga.
“Pada masa sama, berdasarkan angka yang dikongsikan, kita menjangkakan keperluan kira-kira sembilan GW untuk dimasukkan ke dalam sistem melalui loji jana kuasa gas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wawasan Kawal Selia Tenaga 2026 (ERI) anjuran Suruhanjaya Tenaga di sini, semalam.
Akmal berkata, Malaysia tidak lagi meluluskan mana-mana loji jana kuasa baharu berasaskan arang batu, dengan fasa penamatan loji sedia ada dijangka berakhir sekitar 2044.
“Itu akan menjadi loji jana kuasa arang batu terakhir yang ditamatkan operasinya,” katanya.
Menurutnya, perancangan penambahan kapasiti kuasa gas itu perlu diurus Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST), termasuk mengambil kira perubahan corak permintaan elektrik.
Katanya, peningkatan suhu dan perubahan corak cuaca turut mendorong penggunaan sistem penyejukan serta pendingin hawa, sekali gus memberi kesan kepada permintaan tenaga.
“Melangkah ke depan, pengurusan permintaan tenaga akan menjadi sama penting dengan pengurusan bekalan tenaga.
“Justeru, saya fikir untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia perlu cukup berdisiplin untuk memastikan sistem kita terus dinaik taraf, bukan saja dari segi kuasa yang dihasilkan tetapi juga dari segi grid dan infrastruktur supaya sistem kekal mampu milik, selamat dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal berkata, reformasi tenaga kini bukan lagi sekadar agenda sektor atau kawal selia, sebaliknya menjadi antara teras dasar ekonomi negara.
Katanya, kos, kebolehpercayaan dan profil karbon tenaga akan mempengaruhi keputusan pelabur, daya saing industri serta kepantasan penggunaan teknologi baharu.
Sementara itu, menyentuh isu jerebu, Akmal berkata keadaan berkenaan perlu diberi perhatian susulan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun depan.
Beliau berkata, keadaan cuaca turut berpotensi mengubah corak penggunaan tenaga, khususnya apabila suhu meningkat dan permintaan terhadap pendingin hawa bertambah.
Tambahnya, langkah mitigasi sedang diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), termasuk kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan sekiranya diperlukan. – UTUSAN










