477 Rumah Oksigen diwujudkan tangani krisis jerebu di Indonesia - Utusan Malaysia

477 Rumah Oksigen diwujudkan tangani krisis jerebu di Indonesia

JEREBU teruk melanda Kalimantan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia telah mewujudkan sebanyak 477 Rumah Oksigen di pusat kesihatan masyarakat (Puskesmas), hospital dan fasiliti lain bagi menangani peningatan masalah kesihatan berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah

Ketua Biro Komunikasi dan Informasi Awam Kementerian Kesihatan, Aji Muhawarman memaklumkan bahawa sebanyak 295 fasiliti berkenaan ditempatkan di Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan (127), Kalimantan Barat (35), Kalimantan Selatan (8), Jambi (5), Riau (4) dan Sumatera Selatan (3).

Berdasarkan data rasmi kementerian berkenaan, sebanyak 314,124 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) telah direkodkan merentasi tujuh wilayah dan 65 daerah atau bandar yang terjejas akibat kebakaran hutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia termasuk 70,890 kes masalah pernafasan yang melibatkan bayi dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Pada 20 Oktober sahaja, sebanyak 3,269 kes berkaitan masalah kesihatan pernafasan telah dikesan. 

Selain penubuhan kemudahan oksigen berkenaan, pihak berkuasa turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan 1,691 pusat kesihatan masyarakat dan 360 hospital di seluruh kawasan terjejas.

Kementerian Kesihatan Indonesia turut menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan secara percuma di Puskesmas dan hospital daerah bagi penyakit berkaitan jerebu, termasuk gangguan pernafasan, cirit-birit serta pelbagai komplikasi kesihatan lain.

Pihak kementerian turut mengedar dan mengagihkan 578,878 bekalan ubat-ubatan seperti ubat batuk, ubat cirit-birit, antibiotik, 1,500 dos vitamin dan kelengkapan logistik kesihatan.

“Kami telah mengagihkan kira-kira 3.7 juta topeng muka N95 dan topeng pembedahan daripada sasaran 500,000 unit bagi setiap wilayah,” kata Aji.

Kementerian berkenaan turut menggerakkan lebih 2,600 tenaga kerja kesihatan termasuk doktor, jururawat dan pakar epidemiologi bagi menyokong operasi berkenaan.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin pada Isnin lalu menegaskan bahawa pengagihan pantas bekalan logistik kesihatan ke kawasan terjejas akibat jerebu adalah amat mendesak. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini