MAG ambil alih SAE daripada Airbus - Utusan Malaysia

MAG ambil alih SAE daripada Airbus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Airbus bagi mengambil alih Sepang Aircraft Engineering (SAE), iaitu anak syarikat milik penuh Airbus Group.

Pengambilalihan strategik di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0) itu bertujuan memperkukuh keupayaan kejuruteraan serta penyelenggaraan, pembaikan dan perombakan (MRO) kumpulan, di samping meluaskan portfolio perkhidmatan penerbangan bersepadu dan memacu pertumbuhan pendapatan pihak ketiga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, langkah berkenaan diambil di tengah-tengah cabaran industri penerbangan global yang berhadapan dengan persekitaran tidak menentu serta tekanan harga bahan api.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tahun ini merupakan tempoh yang mencabar buat industri penerbangan. Melalui pelaksanaan LTBP 3.0, kami kekal fokus untuk membuat pelaburan berdisiplin di kawasan yang menawarkan laluan jelas ke arah penciptaan nilai mampan. 

“Ini bermakna kami berwaspada dalam memperuntukkan modal dan memberi keutamaan kepada peluang yang memperkukuh perniagaan teras kami.

“Pengambilalihan SAE melengkapi keupayaan MAB Engineering sedia ada menerusi kepakaran pesawat A320, hangar pengecatan khas serta perkhidmatan pembaikan komponen khusus. Ini membolehkan MAG menawarkan penyelesaian MRO yang lebih luas kepada pelanggan di rantau ASEAN dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, langkah itu turut memanfaatkan kelebihan kos dan kemahiran teknikal tempatan bagi menyokong hasrat Malaysia menjadi pusat aeroangkasa terkemuka di rantau ini.

Urus niaga berkenaan tertakluk kepada penuhan Syarat Precedent biasa, termasuk kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

MAG akan bekerjasama rapat dengan SAE, CAAM dan pihak berkepentingan berkaitan bagi memudah cara proses kelulusan dengan sasaran penyelesaian penuh urus niaga pada tahun 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×