Peruncit mohon kerajaan kecualikan SST utiliti

Peruncit mohon kerajaan kecualikan SST utiliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) memohon agar kerajaan mengecualikan Cukai Perkhidmatan (SST) enam peratus ke atas bekalan utiliti bagi penyewa di pusat beli-belah dalam pembentangan Belanjawan 2027.

MRCA berkata, permohonan ke atas cukai yang berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu itu amat penting bagi mengelakkan kesan cukai berganda dan kenaikan kos operasi, sekali gus memupuk sektor peruncitan yang mampan serta berdaya tahan.

Katanya, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada senarai hasrat fiskal strategik yang dikemukakan bagi membantu perniagaan tempatan mengemudi persekitaran yang semakin kompleks merangkumi peningkatan kos serta persaingan luaran.

“Selain pengecualian SST utiliti, kerajaan juga digesa memastikan pematuhan saksama bagi platform e-dagang merentas sempadan menerusi penguatkuasaan lebih ketat Cukai Jualan ke atas Barang Bernilai Rendah (LVG) dan pengawalan barangan tiruan demi melindungi peruncit tempatan.

“MRCA turut mencadangkan pemberian rebat cukai bersasar atau potongan cukai berganda bagi pelaburan operasi ESG, penurunan Cukai Perkhidmatan perkhidmatan pembinaan kepada tiga peratus, serta pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secara berfasa,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, persatuan itu mengesyorkan penghapusan cukai jualan ke atas barangan keluaran tempatan bagi meningkatkan daya saing peruncit domestik berbanding produk import.

“Kami juga menggesa kerajaan melanjutkan pelepasan cukai pelancongan domestik sebanyak RM1,000 sehingga tahun 2027 dengan memperluas skop merangkumi penginapan hotel dan beli-belah runcit bagi memaksimumkan kesan pengganda ekonomi.

“MRCA kekal komited bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi membentuk Belanjawan 2027 yang mampu menyokong sektor peruncitan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×