Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama tenaga dengan PSC Blok A-18

Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama tenaga dengan PSC Blok A-18

AKMAL NASRULLAH (tengah) menyaksikan PSC bagi Blok A-18-01 yang dimeterai antara Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJA), PC JDA Limited dan PTTEP JDX, manakala Perjanjian Penjualan Gas (GSA) membabitkan Petronas dan PTT Public Company Limited.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga menerusi pemeteraian Production Sharing Contract (PSC) dan Perjanjian Penjualan Gas (GSA) baharu bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

Perjanjian itu dimeterai sempena Gastech 2026 di Bangkok, Thailand sekali gus menandakan satu lagi perkembangan penting dalam usaha kedua-dua negara memastikan kesinambungan pembangunan sumber gas asli di kawasan pembangunan bersama berkenaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perjanjian baharu itu bukan sahaja memastikan kesinambungan pembangunan Blok A-18-01, malah memberikan keyakinan kepada pelabur serta menyokong keselamatan tenaga Malaysia dan Thailand.

Menurutnya, perkembangan itu amat penting ketika gas asli terus memainkan peranan utama dalam sistem tenaga negara dan pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia.

“Gas asli diunjur menyumbang sebanyak 56 peratus daripada Jumlah Bekalan Tenaga Primer (TPES) Malaysia menjelang 2050, sekali gus menjadikan pembangunan sumber gas secara berterusan dan berdaya maju sebagai antara keutamaan negara.

“Kepastian, kesinambungan dan keyakinan amat penting untuk membuka ruang kepada pelaburan, mengekalkan pengeluaran dan menjamin nilai jangka panjang,” katanya.

Majlis tersebut turut disaksikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Menteri Tenaga Thailand, Akanat Promphan.

PSC bagi Blok A-18-01 dimeterai antara Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJA), PC JDA Limited dan PTTEP JDX, manakala GSA turut membabitkan Petronas dan PTT Public Company Limited.

Selain itu, Akmal berkata, pencapaian bagi Blok A-18-01 turut menyediakan asas kukuh untuk memperluaskan lagi pembangunan sumber tenaga di MTJDA.

“Langkah seterusnya ialah membuka laluan kepada PSC dan GSA baharu bagi Blok B-17-01 supaya potensi MTJDA dapat diterjemahkan kepada manfaat jangka panjang bagi Malaysia dan Thailand,” katanya.

MTJDA mencerminkan hampir lima dekad kerjasama antara Malaysia dan Thailand yang dibina berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan kepentingan bersama.

Kerjasama itu turut menunjukkan bagaimana sumber tenaga yang dikongsi dua negara dapat dibangunkan secara teratur bagi mewujudkan nilai ekonomi dan menjamin kepentingan tenaga kedua-dua pihak.

Bagi pembangunan Blok A-18-01, Malaysia turut mengharapkan rakan industri dan kontraktor terus menyediakan modal, teknologi, kepakaran serta komitmen yang diperlukan bagi memastikan pembangunan sumber berkenaan dilaksanakan secara berdaya maju dari segi komersial dan bertanggungjawab.

Sementara itu, Akanat menyifatkan MTJDA sebagai model kerjasama dua hala yang berjaya berasaskan kepercayaan dan kepentingan bersama.

“Pemeteraian PSC dan GSA baharu bagi Blok A-18-01 menandakan satu lagi fasa penting dalam kerjasama tenaga Malaysia-Thailand, dengan potensi merangsang pelaburan, menyokong pembangunan mampan serta membawa kemakmuran bersama,” katanya.

Dalam konteks serantau, Malaysia berpandangan bahawa kerjasama rentas sempadan akan menjadi semakin penting susulan peningkatan keperluan tenaga ASEAN.

Dalam persekitaran tenaga yang semakin kompleks, tiada negara mampu menjamin masa depan tenaganya secara bersendirian.

Justeru, Malaysia akan terus bekerjasama dengan Thailand dan rakan ASEAN lain bagi membangunkan ekosistem tenaga serantau yang lebih selamat, berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×