PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,700 satu tan pada Oktober dan berkemungkinan sepanjang baki tahun ini, disokong ketidaktentuan cuaca serta keadaan pasaran tenaga yang menggalakkan.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, risiko penurunan utama ialah penyusutan harga tenaga dan peningkatan lanjut paras stok memandangkan pengeluaran minyak sawit lazimnya mencapai kemuncak bermusim pada September atau Oktober.
Katanya, pengeluaran minyak sawit negara meningkat marginal sebanyak 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.81 juta tan pada Ogos 2026, disokong peningkatan kutipan buah tandan segar (BTS) serta penambahbaikan kadar perahan minyak (OER) berbanding Julai.
“Bagaimanapun, pengeluaran kekal lebih rendah berbanding paras yang direkodkan setahun lalu, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun bagi bulan keenam berturut-turut sejak Mac 2026.
“Eksport minyak sawit terkumpul bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 pula meningkat sebanyak 806,000 tan kepada 10.4 juta tan.
“Namun, eksport pada Ogos susut 7.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.29 juta tan, disebabkan penghantaran yang lebih rendah ke Asia Selatan dan Timur Tengah.
“Walaupun mencatatkan penurunan bulanan, eksport bagi keseluruhan tahun dijangka mencapai 16 juta tan, meningkat 5.2 peratus berbanding jumlah yang direkodkan pada 2025,” katanya dalam kenyataan.
MPOC berkata, gabungan peningkatan pengeluaran dan kelemahan eksport menyebabkan stok minyak sawit meningkat kepada 2.82 juta tan pada Ogos.
“Pengeluaran dan paras stok di Malaysia serta Indonesia dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Pasaran minyak sayuran global mencatatkan prestasi bercampur pada September. Harga minyak sawit Malaysia mendahului kenaikan dengan peningkatan 3.5 peratus sepanjang bulan itu, diikuti minyak kacang soya Argentina yang meningkat 3.3 peratus.
“Sementara itu, harga minyak bunga matahari Argentina susut 6.1 peratus, manakala minyak rapeseed Eropah turun marginal 0.4 peratus.
“Penurunan ketara harga minyak bunga matahari itu terutama didorong tekanan bekalan yang meningkat apabila Ukraine dan Rusia memasuki musim penuaian biji bunga matahari pada September,” katanya.
Tambahnya, cuaca kering yang dikaitkan dengan El Nino semakin ketara di Malaysia dan Indonesia sejak awal Ogos, menimbulkan kebimbangan terhadap kesannya kepada pengeluaran minyak sawit dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.
“Taburan hujan di Indonesia sekitar 20 peratus di bawah purata pada Julai dan 60 peratus di bawah purata pada Ogos, manakala Malaysia turut mengalami keadaan lebih kering dengan taburan hujan sekitar 30 peratus di bawah purata pada Ogos.
“Eksport Indonesia turut dijangka berkurangan hampir tiga juta tan pada 2027, mencerminkan permintaan domestik yang lebih kukuh susulan peningkatan campuran biodiesel serta prospek pengeluaran yang lebih lemah.
“Di Malaysia, eksport dijangka kekal stabil sekitar 16 juta tan pada 2027. Sehubungan itu, Malaysia dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam membekalkan minyak sawit kepada pengguna global,” katanya. – UTUSAN










