KUALA LUMPUR: Industri sawit negara perlu beralih daripada kebergantungan terhadap minyak sawit mentah (MSM) kepada penghasilan produk bernilai tinggi bagi meningkatkan nilai eksport susulan keterbatasan untuk menambah keluasan tanah pertanian.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peningkatan nilai eksport industri pada masa depan perlu didorong nilai tambah produk memandangkan keluasan tanah pertanian tidak lagi boleh ditambah.
“Keluasan tanah pertanian negara sudah mencapai paras maksimum di bawah peraturan dan perjanjian sedia ada, sekali gus menjadikan penghasilan produk bernilai tinggi sebagai pendekatan utama untuk meningkatkan pulangan industri.
“Kita boleh menumpukan kepada bahan-bahan dan menambah baik produk sedia ada. Ini secara langsung menambah nilai eksport negara, dan apabila nilai eksport meningkat, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Kuala Lumpur 2026 di sini semalam.
Noraini berkata, prestasi industri sawit bagaimanapun kekal positif dengan pengeluaran CPO negara mencecah 12.6 juta tan bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, manakala eksport minyak sawit melepasi 10.4 juta tan, meningkat 8.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ujarnya, industri berada pada landasan baik susulan usaha pemasaran yang lebih agresif, terutama ketika sasaran pengeluaran tahun ini ditetapkan lebih rendah.
“Kami menjangkakan akan ada peningkatan, tetapi ini baru bulan ke-10 dan masih ada dua bulan lagi.
“Saya melihatnya secara positif dengan pemasaran secara agresif oleh industri, sekurang-kurangnya kita dapat setara dengan catatan sebelum ini,” katanya.
Pada 2025, pengeluaran CPO negara mencatat rekod 20.28 juta tan, meningkat 4.9 peratus dan buat kali pertama melepasi paras 20 juta tan. Pada tahun sama, eksport minyak sawit serta produk berasaskan sawit menjana kira-kira AS$28.1 bilion.
Bagi memastikan prestasi itu berterusan, Noraini berkata, kementerian menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut membantu memperluas pemasaran produk sawit ke pasaran luar negara.
Jelasnya, usaha memperluas pasaran menunjukkan perkembangan positif apabila eksport ke Timur Tengah dan Afrika Utara meningkat 23 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, diikuti benua Amerika (15 peratus), Asia Selatan (11 peratus) dan Afrika Sub-Sahara (10 peratus).
Bagaimanapun, katanya, usaha memperluas pasaran perlu disusuli peralihan kepada produk bernilai tinggi supaya pertumbuhan eksport tidak hanya bergantung kepada jumlah pengeluaran.
“Kerajaan tidak menetapkan pelan atau jumlah pelaburan khusus untuk sektor berkenaan, sebaliknya menggalakkan industri memberi tumpuan kepada bidang yang mampu menghasilkan nilai tambah lebih tinggi termasuk kosmetik.
“Bahan api penerbangan lestari (SAF) turut menjadi antara fokus kementerian dan industri digalakkan melabur dalam bidang berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN










