KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada November ini, disokong permintaan eksport yang lebih tinggi, penyusutan pengeluaran bermusim serta penggunaan biodiesel yang berterusan.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 16.4 peratus kepada 2.11 juta tan pada September, didorong peningkatan pengeluaran tandan buah segar serta kadar perahan minyak yang lebih baik.
“Bagaimanapun, pengeluaran dipercayai telah mencapai kemuncak pada September dan dijangka menyusut secara bermusim dalam tempoh lima bulan akan datang, sekali gus berpotensi mengurangkan paras inventori serta menyokong harga.
“Stok minyak sawit Malaysia diunjur menunjukkan trend penurunan mulai November 2026 hingga Februari 2027,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, eksport minyak sawit Malaysia merosot 12.1 peratus kepada 1.12 juta tan pada September, terutamanya disebabkan kekurangan ketersediaan kapal di Selat Melaka serta persaingan yang semakin sengit daripada Indonesia.
“Bagaimanapun, jumlah eksport terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
“MPOC menjangkakan eksport kembali pulih pada suku keempat tahun ini, disokong peningkatan ketersediaan kapal, bekalan minyak sayuran global yang semakin ketat serta penurunan harga minyak sawit daripada paras tertinggi pada September,” katanya.
Menurutnya, gangguan logistik di rantau Laut Hitam terus mengekang bekalan minyak bunga matahari, manakala pengurangan bekalan minyak kacang soya dari Amerika Selatan ketika musim penanaman berpotensi meningkatkan lagi permintaan terhadap minyak sawit.
India dijangka meningkatkan import bagi mengisi semula stok selepas perayaan Diwali pada November, manakala China berpotensi menambah penggunaan minyak sawit susulan pengurangan bekalan kacang soya dari Brazil.
Dalam pada itu, harga tenaga yang kekal tinggi terus menyokong permintaan biodiesel, khususnya di Indonesia.
MPOC, memetik data Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), berkata penggunaan minyak sawit Indonesia bagi pengeluaran biodiesel mencecah rekod 1.35 juta tan pada Ogos, iaitu 75 peratus lebih tinggi berbanding penggunaan bagi tujuan makanan.
Jumlah itu bersamaan keperluan tahunan kira-kira 16 juta tan, sekali gus mencerminkan kemajuan ke arah pencapaian sasaran campuran biodiesel B50 negara berkenaan.
“Melangkah ke hadapan, harga MSM dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada November, disokong penyusutan pengeluaran bermusim dan penggunaan biodiesel yang berterusan,” katanya.
MPOC menambah, langkah India mengurangkan duti import minyak sayuran baru-baru ini juga berpotensi menyokong pemulihan import minyak sawit.
“Bagaimanapun, risiko penurunan harga masih wujud sekiranya harga tenaga melemah dan penggunaan minyak sayuran global lebih rendah daripada jangkaan susulan tekanan inflasi serta kelembapan ekonomi,” katanya. –UTUSAN










