KUALA LUMPUR: Prestasi Bursa Malaysia yang telah mencapai rekod permodalan pasaran tertingginya untuk mencecah RM2 trilion minggu ini mencerminkan kekuatan daya tahan pasaran dan ekonomi negara di bawah Kerajaan Madani.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembangunan pasaran modal Malaysia yang mencerminkan komitmen untuk memupuk pertumbuhan, inovasi dan daya tahan dalam sektor kewangan telah meletakkan negara sebagai destinasi utama bagi pelaburan serta aktiviti pasaran modal.
Beliau berkata, pencapaian Bursa Malaysia yang mencecah paras tertinggi awal minggu menunjukkan pengukuhan pasaran ekuiti dan ekonomi negara.
“Awal minggu ini, Bursa Malaysia telah mencecah 1,600 mata dan mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM2 trilion dalam pasaran modal ekuiti.
“Prestasi berkenaan, yang hadir sewaktu ketegangan geopolitik yang berterusan menjadi bukti kekuatan pasaran dan ekonomi Malaysia
“Ini juga menunjukkan bahawa langkah pembaharuan kerajaan di bawah rangka kerja Ekonomi Madani sedang mengambil alih dan membina keyakinan pelabur,” katanya dalam ucapan selepas majlis pelancaran CIMB Securities di sini.
Justeru itu katanya, langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 serta reformasi ekonomi di bawah Belanjawan Negara 2024 dapat membantu semua ini.
“Usaha ini merangkumi pelbagai kementerian dan agensi, mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan fokus kolektif menaikkan siling dan lantai, membuka laluan ke arah pertumbuhan ekonomi yang nyata dan mampan.
“Dalam usaha menaikkan siling dan lantai, terdapat banyak ruang untuk semua pemain dalam ekosistem ekonomi untuk mengambil peranan.
“Oleh itu, kerajaan melihat kepada sektor korporat untuk meningkatkan penyertaan mereka,” katanya. – UTUSAN










