PETALING JAYA: Bursa Malaysia terus mencatatkan momentum positif pada awal dagangan hari ini, sekali gus meneruskan paras tertinggi dalam tempoh dua tahun berikutan minat belian berterusan dan prestasi semalaman Wall Street.
Pada pukul 9 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka tinggi 1.28 mata kepada 1,606.96 daripada 1,605.68 semalam.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 220 berbanding 158 manakala 327 kaunter kekal tidak berubah dengan 1,624 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung manakala jumlah dagangan sebanyak 192.48 juta unit bernilai RM93.48 juta.
Semalam, indeks petunjuk pasaran melonjak melepasi 1,600 mata pada awal dagangan buat pertama kali sejak April 2022.
Menerusi hantaran di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), bursa tempatan itu memaklumkan telah mencatatkan rekod baharu dengan permodalan pasaran ekuiti melebihi RM2 trilion, pada Selasa.
“Indikator di atas adalah bukti kekukuhan pasaran kita dan ekonomi Malaysia.
“Berdasarkan lebih 1,000 syarikat senaraian awam (jumlah tertinggi di rantau ASEAN) kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










