TERAJU kenal pasti 20 syarikat berpotensi ke Bursa Malaysia

TERAJU kenal pasti 20 syarikat bumiputera berpotensi ke Bursa Malaysia

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir bergambar selepas sesi libat urus bersama media dan pemain industri di ibu kota baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 10 hingga 20 syarikat bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi dikenal pasti untuk dibimbing ke arah penyenaraian di Pasaran ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, inisiatif diterajui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu selaras aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Katanya, syarikat terbabit akan melalui proses pembangunan berstruktur bagi mening­katkan keupayaan perniagaan, memperkukuh tadbir urus korporat dan memenuhi keperluan penyenaraian awam.

“Langkah itu penting bagi merapatkan jurang penyertaan syarikat bumiputera dalam pa­saran modal negara yang masih berada pada tahap membimbangkan ketika ini.

“Ini kerana, daripada 97 penyenaraian baharu dalam tempoh tiga tahun lalu, hanya satu syarikat milik majoriti bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Hanya kira-kira tujuh peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia merupakan syarikat bumiputera, sekali gus menunjukkan keperluan pendekatan lebih tersusun dan bersasar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan me­lalui TERAJU melaksanakan em­pat program baharu iaitu ASCEND, ENHANCE, XCELERATE dan BSAF bagi mempercepatkan proses penskalaan syarikat berpotensi tinggi.

Katanya, program berkenaan dirangka membantu syarikat memperkukuh asas perniagaan, meningkatkan nilai komersial, menarik pelaburan swasta dan mempercepat ke­siapsiagaan ke arah penyenarai­an awam (IPO).

“Usaha berkenaan diperku­kuh menerusi memorandum kolaborasi antara TERAJU dan Bursa Malaysia bagi membim­bing syarikat memenuhi syarat penyenaraian.

“Ini kerana Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat bumiputera berdaya saing yang mampu berkembang ke peringkat serantau dan global.

“Diharapkan syarikat bumi­putera berpotensi tinggi, memanfaatkan platform disedia­kan kerana kejayaan masa de­­pan bergantung kepada keupayaan dan daya saing perniagaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN