PETALING JAYA: Bursa Malaysia kembali melonjak selepas kehilangan lebih 40 mata kelmarin, dipacu aktiviti memburu saham murah ke atas saham-saham yang susut susulan reaksi pasaran terhadap ketegangan di Asia Barat.
Semalam, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 27.51 mata atau 1.64 peratus untuk ditutup pada 1,701.68 mata.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelabur terus menumpukan kepada saham-saham syarikat minyak dan gas yang dijangka mencatat pulangan baik susulan perang yang berlaku.
“Ini di mana harga minyak mentah yang sebelum ini berada di bawah AS$70 (RM274.70) setong kini melonjak melebihi AS$90 (RM353.19) setong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, sebanyak tiga syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) digantung jualan singkat di bawah mekanisme Jualan Singkat Harian (IDSS) di Bursa Malaysia sepanjang hari.
Tiga syarikat tersebut ialah Hengyuan Refining Company Bhd., Petra Energy Bhd. dan Hibiscus Petroleum Bhd.
Sementara itu, kaunter syarikat pengeluar minyak ditutup tinggi antaranya Petronas Gas Berhad (PGAS) melonjak 2.44 peratus kepada RM17.60, PCP Resources Berhad (PCP) naik 2.35 peratus kepada RM0.43 dan Kencana Petroleum Berhad (KENCA) meningkat 0.09 peratus kepada RM44.14.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, prestasi pasaran semasa boleh dilihat sebagai pemulihan teknikal selepas tekanan jualan sebelum ini dan bukannya petanda kukuh bahawa pasaran sudah memasuki fasa kenaikan berterusan.
“Sentimen pelabur masih dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran yang tidak menentu, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat, hala tuju kadar faedah global serta pergerakan harga komoditi utama.
“Di peringkat domestik, kekuatan Bursa Malaysia masih banyak disokong oleh saham perbankan, utiliti dan sebahagian kaunter tenaga yang mempunyai asas kewangan kukuh serta dividen stabil.
“Bagaimanapun, aliran dana asing terus menjadi faktor penentu. Sekiranya berlaku aliran masuk dana asing secara konsisten, ia boleh memberikan sokongan tambahan kepada indeks utama.
“Kenaikan prestasi pasaran saham juga didorong oleh penurunan harga minyak dunia yang membantu meredakan kebimbangan pelabur terhadap tekanan kos dan inflasi global,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Bursa Malaysia dijangka bergerak secara berhati-hati dalam julat dagangan tertentu bagi jangka pendek, selaras dengan perkembangan semasa di Asia Barat.
Menurutnya, paras sokongan utama Bursa Malaysia diunjurkan berada sekitar 1,680 hingga 1,700 mata, manakala paras rintangan dijangka antara 1,720 hingga 1,740 mata.
“Selagi indeks penanda aras kekal di atas paras sokongan tersebut, sentimen pasaran dilihat masih stabil meskipun tahap volatiliti kekal tinggi.
“Prospek pasaran dalam masa terdekat masih bersifat optimistik secara berhati-hati.
“Sekiranya harga minyak mentah kekal stabil, ringgit tidak mengalami tekanan ketara dan ekonomi domestik terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang sederhana kukuh.
“Ini sekali gus menjadikan Bursa Malaysia berpotensi mengekalkan trajektori positif secara berperingkat,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kejutan geopolitik atau perubahan mendadak dalam dasar monetari global boleh menyebabkan pasaran kembali berdepan tekanan dalam jangka pendek. – UTUSAN










