Saham CTOS jatuh paling rendah sejak Julai 2022

Saham CTOS jatuh paling rendah sejak Julai 2022

CTOS Digital mencatatkan PATAMI sebanyak RM14.4 juta bagi suku pertama 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham CTOS Digital Bhd jatuh ke paras terendah sejak Julai 2022, susulan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa agensi pelaporan kredit itu tidak diberi kuasa secara sah untuk merumuskan skor kredit.

Kaunter syarikat ditutup 13.79 peratus lebih rendah kepada RM1.25 sesaham pada pukul 5 petang semalam, berbanding RM1.45 sesaham pada kelmarin.

CTOS merosot kepada rekod rendah baharu pada RM1.06 sebelum ini, hampir dengan harga tawaran awam permulaannya pada RM1.10 dalam volum dagangan tinggi di Bursa Malaysia.

Kenanga Research telah menurunkan penarafan agensi itu kepada ‘underperform’ dengan saranan ‘jual’ serta turut mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM1.15 daripada RM2 sebelum ini.

Firma penyelidikan berkata, risiko perniagaan CTOS kelihatan semakin mendalam dengan kemungkinan kesan serta-merta menjadi cabaran kepada model perniagaan syarikat itu.

“Malah, tindakan undang-undang yang sama boleh diambil dalam masa terdekat ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi memerintahkan CTOS untuk membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am kepada Suriati Mohd Yusof yang memiliki sebuah resort di Pulau Perhentian atas penarafan kredit yang tidak tepat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital, Erick Hamburger berkata, pihaknya dalam proses mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes tersebut.

“Kami mempunyai bukti yang mencukupi untuk membuktikan kami telah memperoleh dan memberikan maklumat yang betul. Oleh itu, kami akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan. 

“Malah, sebelum ini kami mempunyai sebanyak 12 kes yang turut melalui proses yang sama. Oleh itu, kami sangat yakin bahawa dalam kes ini, kami telah menyediakan prosedur yang diperlukan untuk memastikan ketepatan maklumat,” katanya dalam sidang media secara dalam talian semalam.

Jelas beliau lagi, pihaknya komited dan akan terus mendukung standard tinggi serta integriti dan pematuhan dalam aspek tersebut. 

“Selama bertahun-tahun kami mempunyai lesen dari Agensi Pelaporan Kredit (CRA) adalah bukti bahawa kami melakukan tugas kami dengan baik (betul) dan kami dalam proses mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan. 

“Peguam bela memaklumkan kepada bahawa kami mempunyai bukti yang mencukupi untuk memenangi rayuan ini dan kami akan berbuat demikian dengan semua bukti yang telah dikemukakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN