PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.
Menurut kenyataan BNM, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya, hari ini.
BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.
Tambahnya, perdagangan global juga terjejas disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik ( E&E).
“Pertumbuhan di China yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menjejaskan ekonomi global. Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun. Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi tersebut masih melebihi purata jangka panjang.
“Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat,” ujarnya. – UTUSAN










