PUTRAJAYA: Siasatan isu kelewatan pembekalan baja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebelum ini telah pun selesai dengan dua individu akan didakwa dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM iaitu berkaitan penyelewengan dan dokumen palsu.
“Penyiasatan SPRM terhadap masalah pengedaran baja di Kedah terhadap petani dan pesawah telah selesai.
“Kami akan merujuk kes itu kepada Jabatan Peguam Negara, jika seandainya diberikan keizinan mungkin minggu depan atau minggu lagi satu pertuduhan akan didaftarkan di mahkamah,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 SPRM di sini semalam.
Bagaimanapun, Abd. Halim enggan mendedahkan siapakah individu yang akan dituduh tersebut.
Pada 7 September lalu, SPRM membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) kepada pesawah di Kedah susulan aduan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).
Kelewatan oleh pihak pembekal yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu telah menjejaskan keperluan pesawah di kawasan MADA yang berkeluasan 100,000 hektar.
Sementara itu, golongan pesawah terjejas mahu supaya pendakwaan tersebut mesti dikenakan terhadap mereka yang benar-benar bertanggungjawab terhadap penyelewengan itu.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, difahamkan selepas hampir sebulan isu kelewatan pembekalan baja dibongkar, SPRM sudah menjalankan siasatan dan seramai 37 saksi telah dipanggil.
“Kini rakyat khususnya pesawah menanti siapa yang akan didakwa. Adakah sekadar kambing hitam atau akhirnya sampai kepada ‘jerung’ yang benar-benar bertanggungjawab.
“Kita jangan hukum sesiapa sebelum proses undang-undang selesai. Tetapi rakyat khususnya pesawah berhak menuntut ketelusan, akauntabiliti dan jawapan sebenar.
“Kalau salah, tidak kira siapa pun, biarlah undang-undang menentukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, pesawah juga ingin mengetahui secara menyeluruh berkaitan proses perolehan, dokumen kelulusan dan mereka mempunyai kuasa membuat keputusan.
“Kami melihat bagaimana kelewatan berlaku, pesawah menunggu, musim padi terus berjalan dan akhirnya ada yang menerima baja ketika padi sudah hampir dituai,” katanya.-UTUSAN.











