PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan berhubung isu kelewatan pengedaran baja kepada pesawah di Kedah dan bercadang mendakwa dua individu berkaitan kes berkenaan dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memperakukan pertuduhan terhadap mereka yang terlibat.
“Kami telah menyelesaikan penyasatan dan akan memperakukan pertuduhan selepas mendapat keizinan Peguam Negara,” katanya dalam sidang akhbar Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Abd. Halim berkata, kes berkenaan Idiklasifikasikan di bawah seksyen 18 Akta SPRM
iaitu penyelewengan atau dokumen palsu.
Katanya, pihak Timbalan Pendakwaraya SPRM akan merujuk kes itu kepada Peguam negara.
“Jika seandainya diberikan keizinan oleh Peguam Negara terhadap perakuan kami,
makanya mungkin minggu depan atau minggu lagi satu, pertuduhan akan didaftarkan ke mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, SPRM telah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta ketua setiausaha (KSU) kementerian itu berhubung siasatan membabitkan isu kelewatan bekalan baja di Kedah.
Setakat ini seramai 37 saksi telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan yang dimulakan pada 26 Ogos lalu berhubung pelantikan sebuah syarikat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Siasatan awal SPRM mendapati sepanjang musim terbabit, sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September ini hanya 333,655 beg baja dibekalkan, kurang 282,360 beg.
Kes aduan berkenaan dibuka 26 Ogos lalu berkait dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja yang dilantik KPKM untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). – UTUSAN











