Terengganu tangguh aktiviti luar bilik darjah sehingga IPU selamat

Terengganu tangguh aktiviti luar bilik darjah sehingga IPU selamat

SEBUAT bot melintasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu berlatarbelakangkan keadaan udara berjerebu semasa tinjauan di Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid dan warga sekolah di seluruh Terengganu diarahkan ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta susulan keadaan kualiti udara yang terjejas akibat jerebu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, arahan itu berkuat kuasa sehingga keadaan kualiti udara kembali berada pada tahap selamat atau sehingga pemakluman rasmi selanjutnya dikeluarkan.

Katanya, langkah tersebut diambil bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada udara tercemar sekali gus mengelakkan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan mereka.

“JPNT sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan.

“Sehubungan dengan keadaan kualiti udara semasa yang terjejas akibat jerebu, langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada udara yang tercemar serta mengelakkan sebarang risiko terhadap kesihatan dan keselamatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Kamsah, arahan itu selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah-langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu dan dianggap kritikal.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta perkembangan kualiti udara semasa menerusi sumber rasmi yang berkaitan.

“Semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan, kokurikulum, pendidikan jasmani, perkhemahan, lawatan, rekreasi dan aktiviti air hendaklah ditangguhkan.

“Pihak sekolah juga perlu memastikan murid berada di dalam bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada udara luar, khususnya murid yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sistem pernafasan,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil sekiranya terdapat murid atau warga sekolah yang mengalami gejala kesihatan akibat jerebu dengan mendapatkan rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, pihak sekolah juga perlu memaklumkan arahan berkenaan kepada ibu bapa atau penjaga serta seluruh warga sekolah.

“Semua pihak hendaklah sentiasa peka terhadap perkembangan keadaan jerebu dan mematuhi arahan serta panduan yang dikeluarkan KPM, JPN Terengganu, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, tiga stesen pemantauan kualiti udara di Terengganu merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat pukul 8 pagi semalam, dengan Kemaman mencatat bacaan tertinggi iaitu 157.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, selain Kemaman, dua lagi kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Paka dengan IPU 156 dan Kuala Terengganu (153).

Sehubungan itu, JAS menasihatkan individu berisiko tinggi supaya mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan pendedahan berlebihan kepada udara tercemar.

Hamzah berkata, semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid sekolah juga perlu dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×