SEREMBAN: Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim telah diminta untuk meneruskan proses pewartaan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut peraturan sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, perkara itu telah diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan dalam mesyuarat yang diadakan kelmarin.
Beliau dalam pada masa sama mengesahkan kenyataan dikeluarkan MMK negeri semalam berhubung proklamasi penurunan takhta berkenaan.
“Pada hari ini, saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli Exco kerajaan negeri secara sebulat suara pada Mesyuarat Exco 15 September lalu.
“Proses pewartaan, sudah pun Exco minta setiausaha kerajaan untuk meneruskan dengan pewartaan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Siswazah Kelas Pertama di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan MMK Negeri Sembilan dalam kenyataan mengumumkan Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta oleh Undang Yang Empat manakala Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan itu, keputusan itu dicapai secara kolektif dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ismail.
Kenyataan berkenaan menyebut semua Exco kerajaan negeri bersetuju bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz pada April lalu adalah sah dengan Proklamasi Penurunan Takhta bertarikh 19 April ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.
Proklamasi itu kemudiannya ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu sekali gus menjadikannya sempurna menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Selain itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Proklamasi Pemilihan Tuanku Nadzaruddin menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April sebagai teratur dan sempurna selepas ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.
Sehubungan itu, pentadbiran kerajaan negeri diarahkan mengambil langkah segera bagi melaksanakan pengumuman berkenaan selaras dengan sabda dan ketetapan Undang Yang Empat.-UTUSAN.










